Ronaldo tolak anugerah pemain terbaik, serah kepada rakan sepasukan

Ronaldo tolak anugerah pemain terbaik, serah kepada rakan sepasukan

CRISTIANO Ronaldo mempamerkan sikap rendah hati apabila menyerahkan anugerah pemain terbaik perlawanan kepada rakan sepasukannya, Abdullah Al-Hamdan selepas Al-Nassr menewaskan Al-Fayha 3-1 dalam aksi Liga Pro Saudi di Stadium Al-Majmaah Sports City.

Ronaldo pada awalnya dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan itu, namun bintang Portugal berkenaan memilih untuk menyerahkan pengiktirafan tersebut kepada Abdullah yang mempamerkan aksi cemerlang.

Lebih menarik, Ronaldo sendiri mendapatkan Abdullah selepas wisel penamat sebelum menyerahkan anugerah berkenaan dan bergambar bersama penyerang Arab Saudi itu, sekali gus mencuri perhatian peminat di media sosial.

Abdullah menyifatkan tindakan kapten Al-Nassr itu sebagai satu penghormatan besar selain berharap pengalaman berkenaan menjadi pembakar semangat untuk terus meningkatkan prestasinya.

“Ini satu penghormatan besar buat saya kerana dapat bersama legenda bola sepak. Saya berharap perkara ini menjadi motivasi untuk saya memberikan lebih banyak sumbangan,” katanya.

Beliau turut memuji keperibadian Ronaldo yang disifatkan bukan sahaja cemerlang di atas padang, malah turut memainkan peranan penting dalam membimbing pemain muda.

“Dia pemain hebat dan sentiasa mempamerkan prestasi tinggi di dalam serta di luar padang. Kami banyak belajar daripadanya.

“Dia juga mengambil berat untuk membimbing pemain muda sebelum pemain senior. Saya berharap kami dapat mencapai kejayaan bersama yang mampu menggembirakan penyokong Al-Nassr,” katanya.

Abdullah sememangnya layak menerima pengiktirafan itu apabila membuka jaringan buat Al-Nassr, selain mencipta peluang untuk gol ketiga yang disempurnakan pemain Brazil, Angelo.

Penyerang itu turut membantu Ronaldo menghasilkan jaringan, namun gol berkenaan dibatalkan kerana ofsaid.

Kemenangan tersebut menyaksikan Al-Nassr mengumpul 25 mata untuk berada di puncak Liga Pro Saudi buat sementara waktu, berkongsi mata dengan Al-Qadsiah yang dijadual berdepan cabaran getir menentang Al-Hilal.

Scroll to Top