Rooney, Owen sokong Carrick dilantik pengurus tetap Man United

Rooney, Owen sokong Carrick dilantik pengurus tetap Man United

London: Wayne Rooney menamakan seorang pengurus yang patut 100 peratus dilantik sebagai pengendali tetap Manchester United menjelang musim depan.

Pengurus sementara, Michael Carrick kini berada dalam kedudukan terbaik untuk dilantik secara tetap selepas memenangi tujuh daripada 10 perlawanan sejak mengambil alih.

Carrick melakukan beberapa perubahan ringkas yang memberi impak segera kepada prestasi dan keputusan pasukan dan kini United dilihat berada di landasan untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Pada awalnya, United hanya merancang untuk mengekalkan Carrick sehingga musim panas, namun legenda kelab itu kini meletakkan INEOS dalam situasi sukar apabila sokongan penyokong semakin meningkat untuk beliau kekal sebagai pengurus tetap.

Peluang Carrick turut meningkat selepas Thomas Tuchel dan Carlo Ancelotti menarik diri daripada senarai calon, walaupun Paul Scholes mempunyai pilihan lain sebagai pengganti ideal.

Rooney menjelaskan mengapa beliau percaya Carrick mesti terus memegang jawatan berkenaan: “100 peratus dia patut [dapat jawatan itu]. Saya sudah katakan sebelum ini. Saya tahu ini akan berlaku dengan Michael Carrick.

“Saya kenal dia dengan baik – perwatakan dan personalitinya. Pasukan ini perlukan seseorang yang tenang, seseorang yang faham kelab ini. Pemain perlukan sokongan dan dia telah memberikannya.

“Kita lihat pemain bermain dengan lebih berkualiti, lebih bersatu sebagai satu pasukan dan mereka nampak sangat kuat. Bagi saya, kenapa perlu tukar?

“Dia mempunyai peratus kemenangan terbaik berbanding mana-mana pengurus Manchester United selepas jumlah perlawanan yang sama. Jadi bagi saya, dia mesti dapat jawatan itu.”

Bekas penyerang United, Michael Owen turut bersetuju dengan Rooney dan mengkritik cadangan bahawa Carrick tidak patut diteruskan.

“Saya menyokong penuh Carrick kekal sebagai pengurus. Mereka sudah mencuba hampir semua perkara.

“Selepas lebih sedekad gagal, akhirnya anda jumpa seseorang yang berjaya menaikkan prestasi pemain, menang perlawanan dan menunjukkan perkembangan.

“Bayangkan jika Carrick disingkirkan dan diganti dengan orang lain – walaupun pengurus hebat – tetapi prestasi kembali merosot. Pihak pengurusan pasti akan dikritik hebat.

“Memang tidak masuk akal jika ada yang kata dia tidak patut diteruskan. Apa risiko paling teruk? Beri dia kontrak dua tahun.

“Kalau musim depan dia gagal, anda boleh berpisah. Bukan perlu kekalkan dia selama 10 tahun pun,” kata Owen.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top