Rooney risau sambutan keterlaluan Man City boleh 'makan diri'

Rooney risau sambutan keterlaluan Man City boleh 'makan diri'

London: Legenda Manchester United, Wayne Rooney memberi amaran kepada Manchester City selepas menyifatkan sambutan kemenangan mereka 2-1 ke atas Arsenal, awal pagi tadi, sebagai keterlaluan.

City menewaskan Arsenal 2-1 di Stadium Etihad, sekali gus merapatkan jurang kepada tiga mata dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Bagaimanapun, tumpuan turut terarah kepada cara sambutan pemain City selepas wisel penamat apabila penjaga gol, Gianluigi Donnarumma dilihat meluru ke arah penyokong dan terjun ke dalam kelompok mereka.

Selain itu, penyokong tuan rumah turut membentangkan sepanduk bertulis ‘Panic on the streets of London’, manakala pemain melakukan ‘lap of honour’ mengelilingi padang.

Rooney berpandangan reaksi itu agak berlebihan memandangkan saingan liga masih belum berakhir.

“Sambutan itu agak keterlaluan. Memang ia kemenangan besar, tetapi masih berbaki beberapa perlawanan.

“Saya rasa ia sedikit terlalu awal dan mungkin akan memakan diri mereka,” katanya.

Menurutnya, Arsenal masih berpeluang besar untuk muncul juara jika berjaya memenangi baki perlawanan.

“Arsenal masih mengawal nasib sendiri. Jika mereka menang semua baki perlawanan, mereka mempunyai peluang baik untuk menjuarai liga,” katanya.

Rooney turut menegaskan jadual perlawanan yang lebih memihak kepada Arsenal boleh menjadi kelebihan buat skuad kendalian Mikel Arteta itu.

“Saya rasa saingan akan sengit. Arsenal mempunyai baki perlawanan yang lebih baik, manakala City berdepan cabaran lebih sukar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top