Rooney tinggalkan Plymouth selepas hanya tujuh bulan

Rooney tinggalkan Plymouth selepas hanya tujuh bulan

London: Bekas bintang Manchester United, Wayne Rooney meletakkan jawatan sebagai pengurus Plymouth selepas hanya tujuh bulan memimpin pasukan yang bergelut di Liga Kejuaraan.

Rooney meninggalkan kelab itu ketika Plymouth berada di kedudukan tercorot liga kedua selepas kekalahan 0-2 kepada Oxford, Ahad lalu.

Plymouth kini empat mata dari zon selamat selepas hanya memenangi empat daripada 23 perlawanan liga dan tewas 13 kali sejak Rooney dilantik pada Mei.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Plymouth mengalami kekalahan besar, termasuk tewas 1-6 kepada Norwich dan kekalahan 0-4 kepada Bristol City serta Coventry, yang menambah tekanan terhadap bekas kapten England itu.

“Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada lembaga pengarah Plymouth.

“Terima kasih juga kepada semua kakitangan yang menyambut saya dengan baik dan menjadikan kelab ini tempat yang istimewa, pemain dan penyokong atas usaha serta sokongan mereka sepanjang saya menjadi ketua jurulatih. Saya doakan yang terbaik untuk masa depan mereka.

“Kepada Green Army, terima kasih kerana menjadikan perlawanan di Home Park begitu istimewa. Ia adalah kenangan yang akan kita kongsi selama-lamanya.

“Plymouth Argyle akan sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati saya, dan saya akan terus mengikuti serta mengambil berat mengenai mereka,” kata Rooney.

Dalam kenyataan di laman web kelab itu, dinyatakan: “Plymouth Argyle boleh mengesahkan bahawa kelab dan ketua jurulatih Wayne Rooney telah bersetuju secara bersama untuk berpisah berkuat kuasa serta-merta.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Wayne dan pasukannya atas segala usaha mereka dan mendoakan kejayaannya mereka pada masa hadapan.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top