Rory sasar pertahan gelaran Masters

Rory sasar pertahan gelaran Masters

London: Pemain golf nombor dua dunia, Rory McIlroy bakal kembali ke Augusta National bulan depan selaku juara bertahan Masters, masih menikmati setiap detik kejayaan yang memerlukan lebih sedekad untuk dicapai, selain sudah merancang menu khas bagi majlis makan malam juara.

Pemain dari Ireland Utara itu muncul pemain lelaki keenam dan pemain Eropah pertama melengkapkan Grand Slam kerjaya selepas menewaskan Justin Rose menerusi playoff ‘sudden-death’ di Augusta, April lalu, sekali gus menamatkan penantian 11 tahun untuk gelaran major kelima serta jaket hijau yang sekian lama diidamkan.

“Mempertahankan kejuaraan Masters adalah sesuatu yang agak jarang berlaku dan ia adalah sesuatu yang saya benar-benar mahu capai,” katanya kepada media.

Rory, 36, mengakui pagi selepas kemenangan itu adalah detik paling sukar dipercayai dalam kariernya.

“Saya bangun dan perlu pastikan ia bukan mimpi. Orang selalu cakap tentang detik ‘cubit diri sendiri’, dan itulah yang saya rasa… betulkah semua ini berlaku?” katanya.

Menurutnya, perasaan selepas menjuarai Masters sangat berbeza berbanding ketika menjadi pemain nombor satu dunia sebelum ini.

“Saya pernah bercakap mengenai perasaan kosong selepas jadi nombor satu dunia, tapi kali ini tiada rasa itu. Ia buat saya rasa sangat bersyukur dengan semua yang berlaku dalam hidup saya,” katanya.

Namun, persiapan Rory untuk kejohanan tahun ini sedikit terganggu apabila dia terpaksa menarik diri daripada Arnold Palmer Invitational awal bulan ini akibat kecederaan belakang.

Bagaimanapun, dia mengesahkan masalah itu sudah pulih sepenuhnya dan tidak lagi membimbangkan.

“Saya sangat gembira dengan reaksi tubuh saya selepas sedikit gangguan itu,” katanya.

Rory turut memaklumkan dia akan terus menjalani latihan dalam beberapa minggu akan datang sebelum kembali membuat beberapa kunjungan ke Augusta National sebagai persiapan terakhir menghadapi kejohanan berprestij itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top