georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengacara dan pelakon Roslan Shah menjelaskan penyertaan Mass Factorz segmen ‘night walk’ dalam program bersama Mangobossku yang menjadi perbualan baru-baru ini adalah atas permintaannya sendiri.
Roslan yang mesra disapa Cik Lan, 55, menjelaskan dia mengambil Mass memasuki segmen itu kerana wanita kelainan upaya (OKU) itu bersungguh mahu mencabar dirinya selain ingin memenangi habuan ditawarkan.
“Saya tidak pernah tawarkan kepada dia untuk buat ‘night walk’ itu tetapi dia yang mahu mencuba sendiri. Saya hanya menghormati dia. Bagi saya, kita tidak boleh pandang remeh terhadap OKU.
“Mereka juga adalah manusia biasa. Saya juga menetapkan syarat, boleh pergi bersama tetapi saya tidak boleh sentuh dia,” katanya ditemui pada acara OHBulan! Paling Viral Online yang diadakan di Balai Berita Bangsar, di sini, semalam.
Roslan juga berkata penyertaan Mass dalam segmen itu membuatkannya lebih berhati-hati kerana Mass merupakan seorang orang kurang upaya (OKU).
Menurutnya, pada awalnya dia dan Mangobossku tidak boleh menerima Mass sepenuhnya disebabkan keadaan kesihatannya dan dia seorang wanita kerana bimbang akan dikecam.
“Apabila banyak sangat reaksi dan juga tawaran yang dibuat kerana dia nak sangat buat night walk untuk mencabar diri, produser pun berikannya peluang.
“Ada yang kecam dan ada yang suka, tetapi bagi saya ini adalah rezeki dia. Bayaran yang diberi adalah sebanyak 2,000 SGD dan ia dilakukan di tanah perkuburan India,” katanya.
Terdahulu, Roslan menerima banyak reaksi termasuk kritikan orang ramai kerana mengambil individu kontroversi yang disifatkan cuba menunggang isu OKU.
© New Straits Times Press (M) Bhd




