firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya dah buntu… semua saluran saya dah buat, tapi semua diam. Saya harap MB (Menteri Besar Kedah) boleh bantu”.
Itu luahan penuh kecewa bekas jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Rosle Md Derus yang mendakwa masih menunggu haknya hampir dua tahun tanpa sebarang perkembangan.
Lebih memilukan, Rosle mendedahkan tunggakan yang belum dilunaskan mencecah kira-kira RM108,000, membabitkan sembilan bulan gaji selain elaun perumahan yang menjadi sumber kelangsungan hidupnya.
Menurutnya, sepanjang tempoh itu, beliau tidak pernah berdiam diri malah sudah menggunakan pelbagai saluran untuk menuntut hak, namun semuanya tidak diendahkan.
“Saya dah cuba macam-macam cara untuk dapatkan hak saya, tapi semuanya senyap. Seolah-olah tiada siapa yang mahu ambil tanggungjawab,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Tambah beliau, kes berkenaan sebenarnya sudah dibawa kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada penghujung 2023 dan sudah pun melalui proses perbicaraan.
Jelasnya, Jawatankuasa Tatatertib FAM sebelum ini telah membuat keputusan bahawa KDA FC perlu melunaskan bayaran tunggakan itu, namun sehingga kini tiada perkembangan positif.
“Keputusan sudah ada, FAM pun sudah arahkan untuk bayar, tapi sampai sekarang masih tiada tindakan daripada pihak kelab,” katanya.
Rosle turut mendedahkan beliau sudah mendapatkan bantuan daripada beberapa pihak termasuk Persatuan Bolasepak Jurulatih Malaysia (PJBM), namun usaha itu juga tidak berhasil.
Katanya, situasi itu menyebabkan beliau kini buntu dan tidak lagi mempunyai saluran lain untuk menuntut hak yang sepatutnya diterima.
Sehubungan itu, beliau merayu campur tangan Kerajaan Negeri Kedah khususnya Menteri Besar bagi membantu menyelesaikan kemelut berkenaan.
“Saya harap Menteri Besar Kedah dapat bantu kerana pasukan ini membawa nama negeri. Tambahan pula, saya difahamkan ada juga ahli lembaga pengarah kelab yang berkait dengan kerajaan negeri,” katanya.
Menurutnya, campur tangan pihak kerajaan amat penting bagi memastikan isu tunggakan gaji seperti ini tidak terus berlarutan sehingga menjejaskan kebajikan individu yang terbabit dalam industri bola sepak tempatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




