Rosli ajak Ku Nan, Radzi berdebat

Rosli ajak Ku Nan, Radzi berdebat

fidahruzki@bh.com.my

PUTRAJAYA: Calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) di Parlimen Putrajaya, Datuk Mohd Rosli Ramli, bersedia berdebat dengan dua lagi calon, bekas Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Dr Radzi Jidin, yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, ia bertujuan untuk mencambah pemikiran, selain memberi peluang kepada pengundi menilai siapa yang layak dan mahu dipilih mewakili mereka untuk penggal depan.

“Saya juga berbesar hati sekiranya mana-mana pihak media boleh menganjurkan debat tiga penjuru antara saya, Tengku Adnan dan Radzi bagi membincangkan tawaran kepada rakyat Putrajaya. Saya bersedia!” katanya pada sidang media ketika menyantuni pengundi di Medan Seleran Presint 16, di sini, hari ini.

Rosli, yang berpengalaman selama 17 tahun berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri (JPM), berkata melalui perdebatan secara sihat itu, ia mampu menunjukkan kaedah yang ada bagi membangunkan bandar pentadbiran itu.

Beliau yang mempunyai kepakaran dalam pengurusan projek adalah antara pegawai kerajaan pertama bertugas di Putrajaya ketika ia mula dibuka pada 1999.

“Putrajaya adalah pusat pentadbiran yang dibangunkan secara terancang dan perkara ini banyak kita lihat ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

“Tidak tahulah sama ada perancangan asal masih lagi diikuti oleh pentadbiran ketika ini, namun kalau kita lihat mengikut perancangannya, Putrajaya ini tidak sepatutnya mempunyai banyak kenderaan,” katanya.

Beliau berkata, perancangan awal pembukaan Putrajaya menyasarkan penggunaan sistem pengangkutan awam yang cekap, merangkumi intrabandar.

Katanya, sistem pengangkutan awam di Putrajaya perlu ditambah baik, merangkumi intra bandar bagi menjadikan Putrajaya sebuah bandar yang menarik untuk dihuni.

Sementara itu, Rosli menawarkan lapan manifesto bertemakan #YangBekerja buat seluruh warga Putrajaya.

Antara lain, meningkatkan kecekapan sistem lalu lintas dan pengunaan lampu isyarat berteknologi kecerdasan buatan (AI) dan Internet benda (IOT) bagi mengelakkan pengguna jalan raya terlalu lama menunggu di persimpangan.

Beliau juga mahu menyelesaikan masalah tempat letak kereta dan pengangkutan awam di pusat pentadbiran itu.

Katanya, PEJUANG bertekad untuk menambah baik pengangkutan awam terutamanya bas dan monorail yang tergendala lama.

Selain itu, beliau juga membawa usaha menyelaras kenaikan gaji penjawat awam dengan kadar nilaian inflasi masa kini selepas kali terakhir ia diselaraskan pada 2011 hingga 2013.

“Penyelarasan gaji ini juga akan membantu penjawat awam yang tersepit dengan kos sara hidup yang semakin meninggi dan mencengkam mereka. Saya dulu lama berada dalam pentadbiran, saya bekas Pegawai Tadbir Diplomatik, saya amat memahami.

“Saya juga menawarkan kepada warga Putrajaya untuk menambah peruntukan bajet bagi penyelenggaraan kuarters.

“Selain itu, saya akan berusaha untuk menambah bilangan pusat transit anak sewaktu transisi sekolah pagi dan kelas petang bagi menjamin keselamatan anak penduduk di Putrajaya,” katanya.

Rosli juga menjanjikan pengurangan kadar sewaan dewan perkahwinan, antara 20 peratus hingga 30 peratus dan sewaan premis perniagaan pada kadar 20 peratus untuk meringankan beban kewangan rakyat, selain membangunkan Pusat Makanan Tradisional Malaysia di Putrajaya.


Rosli ajak Ku Nan, Radzi berdebat

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top