Rosmah mohon bicara AMLA ditangguhkan – Utusan Digital

KUALA LUMPUR: Dua hari sebelum kes pengubahan wang haram dan elak cukainya mula dibicarakan, Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan permohonan agar perbicaraan tersebut ditangguhkan.

Rosmah memfailkan permohonan tersebut kira-kira pukul 9.25 pagi tadi di Mahkamah Tinggi di sini melalui firma guaman, Tetuan Geetham Ram.

Sesalinan dokumen tersebut diperoleh media lewat petang ini.

Menurut afidavit sokongan yang difailkan, isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu memohon perbicaraan itu ditangguhkan kerana beliau sedang merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk menghalang Hakim Mohamed Zaini Mazlan daripada mendengar kes pengubahan wang haram (AMLA) itu.

Hakim tersebut merupakan hakim yang sama mendengar perbicaraan kes rasuah Rosmah berhubung projek solar hibrid dan yang mengarahkan wanita itu membela diri atas pertuduhan tersebut.

Pada 14 Disember 2021, Hakim Mohamed Zaini menolak permohonan Rosmah yang agar hakim itu dihalang daripada mendengar kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai.

Pada 22 Disember 2021, Rosmah memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut dan kes ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Rayuan pada 23 Mac ini.

Menurut Rosmah dalam afidavitnya, sekiranya Mahkamah Rayuan membenarkan rayuannya untuk menghalang Hakim Mohamed Zaini daripada mendengar kes pengubahan wang haram itu,  maka perbicaraan terhadap saya akan hanya menjadi sia-sia.

“Sekiranya perbicaraan tersebut diteruskan, ia akan melanggar hak asasi saya dan saya akan mengalami kemudaratan yang tidak boleh diperbetulkan sekiranya perbicaraan itu diisytiharkan terbatal pada kemudian hari,” kata Rosmah dalam afidavitnya.

Tambahnya, beliau juga telah memfailkan rayuan untuk membatalkan perbicaraan kes rasuah solar yang dihadapinya.

“Terdapat satu rayuan yang masih belum diputuskan di Mahkamah Rayuan yang perlu dipelihara dan dijamin integritinya. Ini bermakna terdapat kemungkinan perbicaraan bagi kes rasuah solar dan pengubahan wang haram akan terbatal,” kata Rosmah.

Semakan pada sistem mahkamah, permohonan Rosmah untuk menangguhkan perbicaraan kes AMLA itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Mohamed Zaini, Rabu ini.