saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak mahu memastikan gandingan utama negara, Pearly Tan-M Thinaah mampu mengekalkan prestasi konsisten seperti yang dipamerkan sepanjang tahun lalu.
Menurut Rosman, pencapaian Pearly-Thinaah pada 2025 boleh dianggap luar jangkaan apabila mereka berjaya mara ke lapan perlawanan akhir, sesuatu yang pada awalnya tidak disangka oleh beliau sendiri.
“Terus terang saya cakap, pencapaian mereka tahun lalu berlaku dengan agak mendadak. Mereka mara ke lapan final kejohanan yang kami sendiri pun tidak sangka.
“Apabila sudah berlaku begitu, sudah tentu jangkaan akan jadi lebih tinggi. Kami sedar mereka berada di kelompok empat terbaik dunia, walaupun dari segi ranking semasa mereka di nombor dua dunia.
“Kami kena ambil ia sebagai cabaran untuk sekurang-kurangnya mengekalkan apa yang mereka capai seperti tahun lalu,” katanya ketika ditemui selepas tamat sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.
Dalam pada itu, Rosman mengakui perancangan yang dirangka buat Pearly-Thinaah bersifat jangka panjang dan tidak hanya memfokuskan kejayaan segera.
“Pelan jangka panjang kami adalah untuk mereka layak ke Olimpik (Los Angeles 2028) dan memburu pingat di sana. Pemain ini kami mahu ‘pakai’ lama, jadi kami kena jaga emosi dan tahap tekanan mereka,” katanya.
Jelasnya, dalam perjalanan menuju sasaran tinggi itu, pasangan berkenaan tidak akan terlepas daripada melalui pasang surut prestasi.
“Paling penting adalah ketika mereka ‘down’ atau prestasi tidak bagus. Masa itulah tugas kami akan berlipat ganda untuk melonjakkan mereka semula kerana kita tidak boleh lari daripada tekanan dan jangkaan yang tinggi. Itulah kehidupan sebagai pasangan beregu yang berada di kelompok atasan,” katanya.
Pearly-Thinaah memulakan musim ini dengan langkah kanan apabila muncul juara Masters Indonesia, Ahad lalu selepas lawan mereka dari Jepun, Arisa Igarashi-Miyu Takahashi menarik diri pada perlawanan akhir susulan kecederaan dialami Miyu.
Tahun lalu, Pearly-Thinaah mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih empat gelaran daripada lapan final yang disertai, termasuk Terbuka Thailand, Terbuka Arctic, Masters Jepun serta pingat emas Sukan Sea Thailand.
© New Straits Times Press (M) Bhd




