Pelakon versatile yang juga usahawan, Datuk Rosyam Nor berpendapat di usianya kini sambutan Aidilfitri lebih bermakna dengan kehadiran anak-anak dan cucunya.
Ujar Rosyam, setiap kali menjelangnya Aidilfitri, selain berkumpul bersama sanak saudara dia juga meluahkan rasa sebak terutamanya apabila mengenang kembali ahli keluarga yang telah tiada.
“Persiapan ni selalunya orang rumah saya lah dengan anak-anak. Saya yang dah berumur macam ni ikut saja apa yang dia orang buat. Dia orang suruh pakai warna apa, saya pakai saja. Yang penting bagi saya hari Raya ni kita kena kenang mereka yang telah pergi.
“Hari raya ni rasa syahdu sebab hari berkumpul dengan sanak saudara. Kadang tahun lepas ada, tahun ni tak ada. Persiapan saya sebagai ketua keluarga ialah menyediakan apa yang patut, menghias rumah untuk menanti anak-anak dan cucu balik,” katanya.

Dalam pada itu, Rosyam mengakui kehadiran cucu-cucunya memberi kebahagiaan buat dirinya apatah lagi ketika menginjak usia senja.
Malah, dia mengakui ini adalah peluang untuknya meluangkan lebih masa serta bermanja dengan enam orang cucunya yang terdiri daripada lima cucu perempuan dan seorang cucu lelaki.
“Cucu ni lain daripada anak. Cucu ni anak orang, marah kita tak boleh pukul atau tampar, makin marah makin sayang. Cucu ni jadi penghibur orang berumur macam saya.
“Masa muda dulu saya terlalu sibuk mencari nafkah dan kerjaya, tak berpeluang manja lebih-lebih dengan anak. Jadi bila ada cucu nilah masanya. Cucu saya sekarang ada enam, lima perempuan satu lelaki. Yang lelaki tu paling manjalah.
“Dia orang berebut dengan saya sebab rumah saya banyak perempuan, anak saya pun lima perempuan. Jadi atuk dia seorang saja lelaki, dia orang berebutlah, rasa macam king lah,” jelasnya.
Rosyam berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana drama vertikal ‘My Ramadan Love Story’ yang berlangsung di Courtyard by Marriot, Kuala Lumpur.
Ketika disoal mengenai peruntukan duit raya yang akan diberikan sempena Aidilfitri pula, teraju utama drama popular TV3, Keluarag Itu berkata, dia tidak terlalu mengambil tahu tentang jumlah perbelanjaan termasuklah duit raya kerana semuanya telahpun diuruskan oleh isterinya.
“Duit raya saya tak tahu, orang rumah saya urus semua. Dia lebih tahu siapa nak bagi. Biar dia fikir.
“Berapa banyak berhabis untuk duit raya… Tak perasanlah. Macam Rosyam Mart ni banyaklah dengan anak yatim apa semua, tapi saya anggap itu sedekah. Sedekah takkan luak harta kita,” ujarnya.

Sementara itu, Rosyam turut berkongsi pandangannya mengenai lambakan lagu raya yang dihasilkan pada masa kini.
Menurutnya, walaupun terdapat lagu yang kurang berkualiti, namun dia melihatnya sebagai sesuatu yang ‘memeriahkan’ suasana Aidilfitri.
“Tapi yang tak bagus pun ramai juga. Macam orang menyanyi karaoke, dia rasa dia bagus, buatlah album. Tapi (dulu) dia tak ada duit nak buat album. Bagi dia orang ni, ada duit nak buat album, dia buatlah album kan? Tapi ada juga orang tengok.
“Tapi anggaplah benda tu kadang-kadang dia serius, kadang-kadang lagu tu ibaratnya lagu komedilah sebagai cara untuk memeriahkan suasana.
“Siapa rasa dia nak buat lagu apa, buatlah. Dia punya duit. Macam dulu-dulu lain, dulu-dulu kena jumpa komposer. Sekarang ni masuk dekat AI, masuk dekat ChatGPT dah jadi lagu, nyanyi sajalah. Kan? Itu saja, tak ada masalah,” tambahnya.



