Roy King-Arif terus garang lakar kejutan, benam beregu Thailand

Roy King-Arif  terus garang lakar kejutan, benam beregu Thailand

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Aksi penuh yakin ditampilkan gandingan muda negara, Yap Roy King-Arif Junaidi apabila sekali lagi mempamerkan taring dengan menumbangkan beregu pilihan Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh yang menghuni ranking ke-12 dunia pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia di Adidas Arena, Paris, sebentar tadi.

Pasangan negara ranking ke-22 itu mencatat kemenangan straight set 21-13, 21-17 ke atas lawan berpengalaman berkenaan, sekali gus meneruskan rentak cemerlang selepas bergelar juara Terbuka Macau baru-baru ini.

Mereka bermula bertenaga sejak set pertama dengan mendahului selesa 14-5 sebelum menoktahkan kemenangan mudah 21-13.

Namun set kedua berlangsung lebih mendebarkan apabila kedua-dua pasangan mengejar mata demi mata. Ketika kedudukan terikat, Roy King-Arif menunjukkan ketenangan luar biasa untuk mendahului 18-17 sebelum mengesahkan kemenangan 21-17 bagi menyingkirkan gandingan yang dibarisi bekas juara dunia 2021 acara beregu campuran, Dechapol.

Kemenangan itu sekali gus meneruskan rentak cemerlang mereka selepas menampilkan prestasi meyakinkan di pusingan pertama dengan menundukkan beregu Jepun, Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura, 21-5, 21-13 dalam masa hanya 27 minit.

Nyata kejayaan muncul juara Terbuka Macau baru-baru ini memberi suntikan semangat luar biasa buat pasangan muda ini untuk melakar lebih banyak kejutan di pentas dunia, sekali gus membuktikan mereka kini antara gandingan yang semakin digeruni.

Dengan kejayaan berharga ini, Roy King-Arif berkemungkinan besar akan berdepan rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik di pusingan ketiga sekiranya pemenang pingat gangsa Olimpik Paris itu berjaya melepasi halangan beregu Scotland, Christopher Grimley-Matthew Grimley yang akan turun awal pagi ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top