Kuala Lumpur: Empat dekad selepas lagu Mulanya Di Sini mencipta fenomena, penyanyi dan komposer, Royston Sta Maria kembali bergandingan dengan Shuib Freedom untuk menghidupkan semula nostalgia.
Persembahan istimewa itu menjadi antara tarikan utama acara amal Rocking for a Cause anjuran Musicians for Malaysia (MfM) kali keempat di Kelab Golf Negara Subang, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Acara yang menghimpunkan 560 tetamu itu berjaya mengumpul kutipan berjumlah RM85,500 bagi membantu pemuzik yang memerlukan.
Royston yang menetap di Perth, Australia, terbang pulang untuk berkongsi pentas bersama Shuib, mengimbau kembali lagu malar segar yang dekat di hati pendengar merentas generasi.
Mulanya Di Sini tercipta daripada melodi yang terlintas dalam fikiran Royston kira-kira empat dekad lalu.
Beliau kemudian mengembangkan melodi itu sebelum meminta Syed Haron Syed Ahmad menghasilkan liriknya.
Pada 1986, lagu berkenaan meraih tempat kedua di Festival Lagu ASEAN sebelum dirakamkan oleh Freedom untuk album sulung kumpulan itu pada 1987.
Empat puluh tahun berlalu, melodi yang cukup dikenali serta rangkap ‘sama-sama’ masih menjadi sebahagian daripada warisan muzik Malaysia.
Persembahan Royston dan Shuib mengundang sambutan hangat penonton, sekali gus membuktikan lagu berkenaan mempunyai daya tarikan tersendiri.
Suasana turut menjadi lebih mengharukan apabila acara itu mengadakan penghormatan kepada penyanyi asal Freedom, Allahyarham Norsehah Abu Bakar.
Paparan foto Seha dan anggota asal kumpulan itu mengundang tepukan serta sorakan penonton.
Anggota asal Freedom, Richard Gomis yang kini berdepan gangguan saraf, turut hadir di pentas bersama rakan sekumpulannya.
Acara berkenaan turut menampilkan persembahan beberapa pemuzik berpengalaman antaranya Datuk Francissca Peter, Electric Orgasm, Goblokes, Heavy Machine, Lighthouse bersama Vijay David, Datuk Leonard Tan, Os Pombos, The Polymaths dan The Studio 10 Experience.
Presiden MfM, Francis Danker berkata, seramai 21 pemuzik veteran menerima Anugerah Pengiktirafan Sepanjang Hayat atas sumbangan mereka kepada industri muzik Malaysia, termasuk Royston.
“Selain meraikan legasi muzik, penganjuran itu turut menekankan kepentingan menyokong pemuzik yang sudah berdekad-dekad mencorakkan industri muzik negara.
“Menerusi persembahan amal, MfM terus mengumpul dana bagi membantu pemuzik yang memerlukan, selain memastikan penggiat di sebalik lagu-lagu malar segar ini mendapat pengiktirafan dan perhatian sewajarnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




