lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Rakan Penghantar Melaka (RPM) mendakwa penubuhan Tribunal Pekerja Gig di bawah Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) bersifat ‘separuh masak’ kerana tiada perincian dan garis panduan pelaksanaannya.
RPM dalam satu kenyataan menegaskan, cadangan penubuhan tribunal itu perlu disertakan dengan garis panduan serta peraturan pelaksanaan yang jelas, terperinci dan komprehensif.
Justeru, RPM mendesak kerajaan menangguhkan penguatkuasaan akta terbabit yang sepatutnya bermula hujung Mac ini bagi memberi ruang kepada penambahbaikan menyeluruh.
“Kejelasan itu amat penting bagi memastikan bidang kuasa, skop pendengaran serta mekanisme penyelesaian pertikaian antara pekerja gig, platform dan pihak berkepentingan lain dapat ditentukan dengan baik.
“Perincian sedia ada dilihat masih kabur dan tanpa prosedur serta penguatkuasaan yang jelas, tribunal ini berpotensi mewujudkan pertindihan dengan mekanisme penyelesaian pertikaian sedia ada.
“Keadaan ini hanya akan menimbulkan ketidakpastian dari sudut pelaksanaan undang-undang di lapangan,” menurut kenyataan itu.
RPM berpandangan, situasi berkenaan bukan sahaja gagal membela nasib pekerja gig, malah berisiko menambah karenah birokrasi yang membebankan golongan terbabit.
Dalam masa sama, RPM turut membangkitkan kebimbangan terhadap cadangan penubuhan Majlis Perundingan Gig yang memerlukan ketelusan dari segi struktur keanggotaan dan kaedah pelantikan.
“Aspek perwakilan sebenar komuniti pekerja gig perlu diberi perhatian agar suara golongan itu tidak dipinggirkan dalam proses penggubalan dasar.
“Tanpa jaminan perwakilan yang seimbang, majlis ini berisiko menjadi sekadar platform perundingan formal tanpa impak sebenar kepada pemain industri di lapangan katanya.
RPM juga mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas membabitkan wakil pekerja gig peringkat akar umbi bagi merangka semula prosedur operasi standard (SOP) tribunal serta syarat pelantikan dalam Majlis Perundingan Gig.
“Jawatankuasa berkenaan perlu diberi mandat jelas agar setiap dasar yang dirangka benar-benar mencerminkan keperluan sebenar industri.
“RPM tidak menolak usaha kerajaan untuk mengawal selia industri gig, namun sebarang penggubalan undang-undang tanpa ketelitian teknikal dan tanpa suara pemain industri hanya akan menambah beban kepada pekerja,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




