suzalina@bh.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 menetapkan usaha bagi memastikan guru dapat memberi tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Menterinya Fadhlina Sidek berkata, melalui RPM, dasar 80:20 ditetapkan dengan menggariskan 80 peratus masa guru mata pelajaran diperuntukkan untuk aktiviti berkaitan dengan PdP, manakala 20 peratus lagi diperuntukkan untuk tugasan bukan PdP.
“Kesejahteraan guru dipengaruhi pelbagai faktor termasuk beban tugas di luar skop tugas utama, persekitaran kerja, emosi serta peluang pembangunan profesional.
“Sehubungan itu, melalui RPM 2026-2035 ia menetapkan usaha bagi memastikan guru dapat memberi tumpuan kepada PdP,” katanya melalui kenyataan hari ini.
RPM 2026-2035 ialah pelan strategik 10 tahun KPM untuk meningkatkan kualiti pendidikan melalui tujuh teras utama, termasuk kurikulum, kebajikan guru, dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Ia memperkenalkan kemasukan Tahun Satu untuk murid berusia enam tahun mulai 2027 bagi memantapkan asas pembelajaran dan meningkatkan kecekapan ekosistem pendidikan negara.
Pada masa sama, Fadhlina berkata, antara inisiatif dilaksanakan KPM untuk menangani beban tugas guru dari tahun 2023 hingga kini termasuk melantik 20,997 sukarelawan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Beliau berkata, selain itu KPM turut melaksanakan inisiatif pembantu guru MySTEP dan melantik pembantu warden asrama sepenuh masa.
“Selain itu, KPM turut memansuhkan fungsi Sistem Pengurusan Latihan Kementerian Pendidikan Malaysia (SPLKPM) dan mengembalikan fungsi Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




