RPTM 2026-2035 ubah landskap pendidikan negara

RPTM 2026-2035 ubah landskap pendidikan negara

suliati@hmetro.com.my

‘KALAU tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’.

Pepatah lama ini tepat menggambarkan realiti pendidikan tinggi negara hari ini yang mana teknologi berkembang pantas, keperluan industri berubah tanpa menunggu manakala landskap pekerjaan semakin kompleks.

Dalam situasi sebegini, universiti tidak lagi boleh berpuas hati dengan kejayaan ‘semalam’, sebaliknya perlu bergerak dengan ketangkasan baharu, berfikir melangkaui kebiasaan dan memimpin perubahan yang membentuk masa depan negara.

Pelancaran Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 baru-baru ini, wajar dilihat sebagai kompas nasional yang menyusun semula hala tuju pendidikan tinggi negara.

– RPTM 2026-2035, perkukuh aspirasi universiti unggul pemacu Bumiputera profesional

Menyambut baik aspirasi itu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyifatkan RPTM sebagai langkah transformatif dalam memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara berteraskan keadilan sosial.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, pengumuman itu selari dengan aspirasi dan hala tuju strategik UiTM untuk menjadi Universiti Unggul Pemacu Bumiputera Profesional.

Ia khususnya dalam memperluas akses pendidikan berkualiti, memupuk bakat berkemahiran tinggi serta memastikan tiada penuntut tercicir daripada arus pendidikan tinggi.

“Antara inisiatif utama RPTM yang amat signifikan kepada UiTM termasuk jaminan tempat di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kepada penuntut cemerlang dengan PNGK 4.0, pendidikan percuma untuk pelajar orang kurang upaya (OKU) serta pendidikan percuma dan bantuan pembiayaan kepada penuntut dalam kalangan keluarga miskin tegar,” katanya.

Langkah itu, menurut beliau, diyakini dapat memperkukuh prinsip kesaksamaan pendidikan dan mobiliti sosial, selaras dengan peranan UiTM sebagai institusi yang memperjuangkan agenda pembangunan Bumiputera secara inklusif dan mampan.

“UiTM turut menyokong penambahan 3,000 tempat pengajian IPTA bagi 2026, termasuk dalam bidang strategik seperti Undang-Undang, Perakaunan, Kewangan, Kecerdasan Buatan (AI), Data Sains, Komunikasi dan Pengajian Media, yang dilihat seiring dengan keperluan pasaran kerja masa hadapan dan agenda ekonomi berasaskan pengetahuan.

“Manakala penekanan terhadap pemerkasaan TVET, digitalisasi serta penerapan AI di politeknik dan kolej komuniti juga dilihat sebagai langkah penting dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi selain relevan dengan landskap industri global,” katanya.

Selain itu, pengumuman tambahan 5,000 unit penginapan penuntut melalui kerjasama dengan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) serta penambahbaikan struktur pengurusan tingkatan enam dan matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bermula 2027, diyakini dapat memperkukuh kesinambungan pendidikan pra-universiti ke peringkat ijazah dan meningkatkan kesejahteraan penuntut secara holistik.

Dalam aspek pembinaan jati diri nasional, UiTM menyambut baik pemerkasaan semula Mata Pelajaran Umum (MPU) yang akan diajar dalam Bahasa Melayu serta memberi penekanan kepada Perlembagaan dan Sejarah Malaysia, sejajar dengan peranan universiti dalam membentuk graduan berilmu, beridentiti nasional dan berintegriti.

“Justeru, UiTM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir atas komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa pendidikan tinggi negara dan menyokong hasrat serta aspirasi UiTM selama ini.

– RPTM 2026-2035, menangani keciciran dan memperluas peluang belajar di Wilayah Sabah

Di Sabah pula, Universiti Malaysia Sabah (UMS) melihat RPTM sebagai anjakan penting dalam menangani keciciran pelajar dan memperluas peluang akses pendidikan tinggi.

Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata, pendekatan ‘whole-of-nation’ yang menjadi teras RPTM membawa implikasi besar kepada Sabah, khususnya dalam menangani isu keciciran pelajar dan memperluas peluang belajar.

Katanya, realiti geografi yang luas, jurang akses pendidikan, kekangan logistik dan digital, kos sara hidup serta keperluan bekerja awal menyebabkan sebahagian anak Sabah tercicir atau tidak meneruskan pengajian walaupun sudah menerima tawaran.

“Justeru, pendidikan tinggi di wilayah ini perlu dirangka sebagai sistem yang lebih anjal, inklusif dan berasaskan realiti setempat.

“Penegasan bahawa pendidikan tinggi mesti berteraskan kemenjadian siswa amat signifikan.

“Kejayaan tidak boleh diukur semata-mata melalui kadar kemasukan, tetapi melalui keupayaan mengekalkan penuntut sehingga tamat pengajian serta memastikan graduan benar-benar berdaya saing,” katanya.

Bagi Sabah, Dr Kasim berkata, ini menuntut sokongan menyeluruh merangkumi aspek akademik, kewangan, psikososial dan kebajikan bagi mengurangkan risiko keciciran, khususnya dalam kalangan pelajar luar bandar dan pedalaman.

“Pengenalan ‘Academic Bank Credits’ (ABC) adalah antara instrumen penting untuk menangani keciciran.

“Fleksibiliti pembelajaran merentas institusi, mod dan tempoh pengajian membolehkan penuntut menghentikan pengajian sementara tanpa kehilangan laluan akademik.

“Pendekatan ini memberi ruang kepada penuntut Sabah menyeimbangkan tuntutan keluarga, pekerjaan dan pembelajaran, sekali gus memperluas akses tanpa beban kewangan berlebihan,” katanya.

Dr Kasim berkata, aspirasi UMS sebagai ‘The BRAIN of Borneo’ memikul peranan strategik sebagai pemacu ilmu, inovasi dan kepimpinan di peringkat wilayah.

“Melalui pendekatan pembelajaran berasaskan kerja (‘work-based learning’), serta inisiatif peningkatan kemahiran (‘reskilling’) dan pemantapan kemahiran (‘upskilling’) yang selari dengan sektor utama di Sabah, UMS berupaya memperkukuh pembangunan bakat tempatan dan meningkatkan kebolehpasaran graduan.

“UMS komited dalam menjayakan aspirasi RPTM 2026-2035 dengan pendekatan berteras Sabah, agar tiada anak Sabah, termasuk golongan OKU dan keluarga miskin tegar, tercicir daripada peluang untuk belajar, berkembang dan menyumbang kepada masa depan negeri serta negara,” katanya.

– RPTM 2026-2035 membina negara dengan ilmu, nilai dan tujuan

Daripada sudut pemikiran akademik pula, Pegawai Komunikasi Korporat Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat Universiti Putra Malaysia (UPM) Mohamad Amirul Mohd Adnan Ali berkata, RPTM 2026-2035 tidak hanya wajar menjadi rujukan dasar, tetapi juga berperanan sebagai rangka strategik yang memacu hala tuju pendidikan tinggi negara untuk tempoh sedekad akan datang.

“Terasnya jelas iaitu melahirkan pembina negara yang berpaksikan kemanusiaan dan dipacu matlamat.

“Ertinya, universiti bukan sekadar ‘kilang’ kelulusan, tetapi medan membina insan yang berfikir, berempati, beretika dan mampu menyumbang kepada masyarakat dengan tujuan yang jelas,” katanya.

Mohamad Amirul berkata, RPTM 2026-2035 turut menonjolkan pendekatan kolaboratif yang membabitkan pelbagai pihak, sejajar dengan realiti bahawa pendidikan tinggi tidak lagi boleh berfungsi dalam ruang tersendiri.

“Dunia kerja berubah, teknologi berkembang, keperluan komuniti beralih dan cabaran negara semakin kompleks.

“Jika universiti bergerak sendirian, kita akan menghasilkan graduan yang pandai di atas kertas tetapi terputus daripada realiti,” katanya.

Mengulas konsep kemanusiaan sebagai teras, Mohamad Amirul berkata, pendekatan ‘humanity-centric’ hadir tepat pada masanya ketika negara berdepan isu kos sara hidup, kebimbangan peluang pekerjaan, perubahan iklim dan krisis kepercayaan masyarakat.

– RPTM 2026-2035, anjakan paradigma POLYCC sebagai peneraju TVET Negara

Sementara itu, POLYCC menyifatkan peluncuran RPTM 2026-2035 sebagai ‘game changer’ utama dalam mentransformasikan landskap institusi itu secara radikal.

Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dr Shamsuri Abdullah berkata, dokumen strategik itu meletakkan Kompetensi TVET Termaju sebagai Lonjakan ke-3, sekali gus mengiktiraf peranan kritikal TVET dalam memacu ekonomi negara.

Menurutnya, di bawah kerangka RPTM 2026-2035, POLYCC akan beralih daripada penyedia latihan konvensional kepada institusi TVET termaju yang memfokuskan kepada sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (‘High Growth High Value’) seperti semikonduktor, AI dan tenaga boleh baharu.

“Langkah ini bertujuan memenuhi keperluan tenaga kerja mahir bagi menjayakan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Ekonomi MADANI,” katanya.

Bagi menyokong transformasi ini, Perdana Menteri mengumumkan beberapa agenda besar terkait POLYCC, bermula dengan penggubalan akta politeknik dan Kolek Komuniti.

Dr Shamsuri berkata, inisiatif ini bakal memberikan kedudukan setaraf universiti awam daripada segi tata kelola, sekali gus membebaskan institusi daripada kekangan birokrasi yang selama ini membatasi ruang geraknya.

“Selain itu, agenda ini turut membabitkan penaiktarafan 10 politeknik sebagai Politeknik Premier yang akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Melalui status premier itu, institusi ini diberi mandat khusus untuk menawarkan program ijazah sarjana muda berasaskan WBL.

“Pendekatan pembelajaran di tempat kerja ini dilihat sebagai solusi kritikal bagi menyokong sektor strategik negara, terutamanya dalam bidang Elektrikal dan Elektronik (E&E) yang memerlukan kepakaran praktikal yang tinggi,” katanya.

– RPTM 2026-2035, memacu lonjakan pendidikan tinggi negara, menyuburkan bakat masa depan.

Pandangan seiring turut disuarakan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang menyifatkan RPTM sebagai kompas nasional dalam menyusun semula hala tuju pendidikan tinggi agar bukan sekadar relevan, tetapi mendahului perubahan.

Naib Canselor UTeM Prof Datuk Massila Kamalrudin berkata, RPTM 2026-2035 hadir sebagai strategi transformasi menyeluruh yang menghubungkan universiti, industri, kerajaan dan masyarakat dalam satu ekosistem pembangunan bakat yang lebih berimpak tinggi.

“Kita tidak boleh lagi melahirkan graduan yang hanya tahu, tetapi perlu membina generasi yang mampu menyumbang, mencipta nilai dan memimpin inovasi.

“Maka, semangat RPTM menuntut universiti menjadi pemacu perubahan serta membina laluan pembelajaran yang lebih fleksibel, lebih relevan dan lebih dekat dengan realiti industri,” katanya.

Antara teras paling signifikan ialah Lonjakan 3: Kompetensi TVET Termaju, yang meletakkan TVET sebagai tunjang kepada daya saing masa depan Malaysia.

Menurutnya, universiti yang memahami tuntutan zaman perlu membina kurikulum berpaksikan aplikasi sebenar, memperkukuh pembelajaran berasaskan industri serta memastikan graduan bukan sekadar boleh bekerja, tetapi mampu memimpin perubahan dalam ekosistem pekerjaan baharu.

Namun, katanya, kompetensi semata-mata tidak mencukupi tanpa penyelidikan dan inovasi yang menyelesaikan masalah sebenar.

“Di sinilah Lonjakan 6: RDICE Bertanggungjawab perlu menjadi nadi kepada pembangunan negara yang mampan.

“Universiti perlu menjadi penyelesai masalah kepada industri dan komuniti, melahirkan inovasi yang boleh diterjemahkan kepada teknologi, produk, perkhidmatan dan manfaat sosial,” katanya.

Dalam dunia yang dipacu inovasi, penyelidikan yang bertanggungjawab juga mesti berteraskan etika. Setinggi mana pun teknologi menjulang, nilai insan tetap menjadi tunjang.

Seiring itu, Lonjakan 1: Pembelajaran Berpaksi Kemanusiaan, Keusahawanan dan Adaptif mengingatkan bahawa pembangunan teknologi dan kepakaran semata-mata tidak mencukupi tanpa pembinaan nilai dan jiwa.

Akhirnya, kejayaan RPTM 2026-2035 tidak boleh dipikul oleh universiti semata-mata.

Ia menuntut kebersamaan nasional, dengan kerajaan sebagai pemudah cara dasar, industri sebagai rakan strategik, universiti sebagai pemacu ilmu dan inovasi, serta masyarakat sebagai penerima manfaat dan penyumbang aspirasi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top