ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Program Road to Gold (RTG) bukan tiket segera untuk menjelmakan kejayaan badminton negara di Olimpik, sebaliknya hanyalah sebahagian daripada proses jangka panjang yang perlu diperhalusi, tegas pemerhati sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa.
Beliau menjelaskan, kejayaan pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei muncul juara dunia baru-baru ini tidak boleh dianggap hasil terus daripada penyertaan mereka dalam RTG.
“RTG ini proses, bukan penamat. Tang Jie-Ee Wei dah lalui jatuh bangun dan berlatih hampir dua tahun. Masuk RTG empat bulan lalu bukan bermakna ia sudah membuahkan kejayaan. Ia masih peringkat pra-matang.
“Tugas RTG sekarang adalah mengekalkan prestasi mereka untuk tempoh 20 bulan akan datang, memastikan layak ke Olimpik dan berada pada tahap terbaik sebagai pencabar pingat,” katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.
Sadek turut mengingatkan ancaman besar bakal datang daripada kuasa Eropah, khususnya Perancis yang kini mempunyai pemain muda dalam kelompok empat terbaik dunia bagi perseorangan, beregu dan beregu campuran.
“Jangan lupa, mereka muda, berbakat dan semakin konsisten. Kita kena ambil serius ancaman itu selain tidak boleh leka dengan dominasi China,” tegasnya.
Beliau menekankan kepentingan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menyusun jadual kejohanan dengan bijak supaya pemain tidak mengalami keletihan melampau (burnout).
“Kena pilih kejohanan yang betul, jangan dedahkan semua taktikal kita. China sendiri ada strategi, mereka kurangkan kejohanan menjelang Olimpik, simpan skil luar biasa untuk perlawanan penting. Itu permainan minda yang perlu ditiru,” katanya.
Dalam masa sama, Sadek mahu BAM segera melahirkan sekurang-kurangnya dua lagi pasangan beregu campuran muda sebagai pelapis.
“Kita tak boleh hanya harap Tang Jie-Ee Wei dan Hoo Pang Ron-Chen Su Yin. Perlu ada dua lagi pasangan muda yang diberi ruang bermain di Sukan SEA, Jelajah Dunia 250, 500 atau 750. Walaupun kalah, yang penting mereka matang dan kenal siapa lawan mereka.
“Kalau pelaburan tidak dibuat sekarang, kita akan ketinggalan. Usia pasangan utama akan mencecah 29-30 tahun pada Olimpik akan datang, jadi kita mesti sediakan kesinambungan,” tegasnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd