RTX 4070TI Suprim X cemerlang dalam kelasnya

RTX 4070TI Suprim X cemerlang dalam kelasnya

saufi@mediaprima.com.my

Perkakas utama untuk kelas permainan bagi set desktop adalah kad grafik, tanpa perkakas ini, permainan tidak dapat dinikmati dengan maksimum.

  Ia juga akan menentukan tahap kesan grafik yang dapat dinikmati oleh pengguna sama ada pada tahap rendah (lowest) sehingga kepada tetapan ultra.

  Pastinya semua pengguna pada hari ini mahukan kad grafik paling maju di pasaran untuk menikmati setiap detik permainan khusus untuk genre permainan dunia terbuka atau ‘open world’.

  Sesuai dengan penggunaan kesan grafik semasa, MSI memperkenalkan variasi kad grafik mereka kelas premium daripada generasi Suprim X dengan model Nvidia GeForce RTX 4070Ti.

  Menerusi kapasiti video memori atau VRAM 12GB, RTX 4070Ti Suprim X 12G berada pada kelasnya tersendiri dengan tetapan tiga kipas penyejuk di samping binaan premium kad grafik berkenaan.

  Bagi pengeluaran generasi Suprim X pada kali ini, ia berteraskan kepada konsep logo inspirasi batu berlian dengan corak kristal geometri menampilkan kesan unik kepada kemasan kad berkenaan.

  Penulis melaksanakan ujian beberapa judul permainan untuk melihat keupayaan kad grafik berkenaan.

  Ujian dilaksanakan menerusi judul permainan Call of Duty Modern Warfare 2 (2022), Assassin Creed Valhalla, Horizon Zero Dawn dan God of War.

  Hasil ujian mendapati untuk resolusi 1080p, kadar bingkai sesaat (FPS) adalah secara purata sekitar 160 hingga 170 FPS secara konsisten.

  Manakala untuk resolusi 1440p adalah sekitar 120 hingga 135 FPS dan bagi resolusi 4K adalah 80 hingga 110 FPS tanpa sebarang masalah.

  Untuk talaan penuh (full load) pula, bacaan suhu adalah pada tahap paling minimum biarpun penggunaan dalam tempoh masa lama.

  Menyentuh aspek spesifikasinya, RTX 4070Ti Suprim X 12G ini memberikan kuasa prestasi dua kali lebih baik daripada generasi terdahulu dengan penggunaan kecekapan tenaga.

  Ia juga didatangkan dengan Teras Generasi Keempat Tensor yang memberikan empat kali prestasi lebih baik dengan DLSS 3.

  RTX 4070Ti ini juga adalah generasi ketiga untuk teras ‘Ray Tracing’ dengan prestasi dua kali lebih baik berbanding generasi RTX 3070Ti.

  Sesuai dengan perkakas prestasi tinggi, RTX 4070Ti Suprim X 12G ini menggunakan teknologi Tork Fan 5.0 yang memberikan pengaliran udara 23 peratus lebih baik.

  Rekaan kipas dengan kecondongan 22 darjah berkenaan memberikan tekanan udara tinggi sekali gus memberikan kuasa penyejukan pada tahap paling optimum.

  Hasil daripada talaan teknologi terkini, kipas pada kad grafik berkenaan akan terhenti dengan sendirinya pada satu-satu tahap suhu dan akan kembali beroperasi apabila suhu melebihi tetapan tersendiri.

 

 

Penilaian Penulis

 

 

Prestasi: 4.5 / 5

Keupayaan: 4.5 / 5

Rekaan: 5 / 5

Harga: 4.5 / 5

  

Tamat

© New Straits Times Press (M) Bhd