asyikin.mat@hmetro.com.my
KABINET televisyen antara elemen penting yang menentukan karakter dan kemasan ruang tamu sesebuah kediaman.
Oleh itu, pemilihan kabinet yang tepat adalah penting kerana ia menjadikan ruang kelihatan lebih kemas, tersusun dan mencerminkan cita rasa pemilik rumah.
Kabinet berkonsepkan minimalis semakin mendapat perhatian kerana reka bentuknya ringkas, tidak sarat dan sesuai untuk kediaman bersaiz kecil mahupun besar.
Dekotaman minggu ini berkongsi lima panduan memilih kabinet televisyen.
1. Tentukan Saiz Tepat
Ukur ruang dinding dan keluasan ruang tamu terlebih dahulu sebelum memilih kabinet televisyen.
Ini penting bagi memastikan kabinet dipilih sesuai dengan ruang dan tidak mengganggu susun atur sedia ada.
Kabinet televisyen yang terlalu besar boleh menjadikan ruang kelihatan sempit.
2. Pilih Bahan Berkualiti
Pemilihan bahan kabinet menentukan ketahanan dan jangka hayat perabot berkenaan.
Antara bahan menjadi pilihan ialah kayu kerana ia lebih tahan, kukuh dan eksklusif.
Ini menjadikan perabot itu sesuai untuk kegunaan jangka panjang dan menjimatkan.
3. Pengurusan Kabel Teratur
Pastikan kabinet mempunyai lubang khas untuk saluran kabel supaya ruang tamu kelihatan kemas dan tersusun.
Saluran kabel ini juga mengurangkan risiko tersangkut atau tercabut secara tidak sengaja.
Sekali gus, pengurusan kabel yang teratur turut meningkatkan estetika pada ruang tamu.
4. Sesuaikan dengan Saiz Televisyen
Penting untuk memastikan kabinet sesuai dengan saiz televisyen demi keselamatan dan keselesaan ketika menonton.
Kabinet yang terlalu kecil berisiko menyebabkan kedudukan televisyen tidak stabil dan mungkin terjatuh.
Selain itu, ketinggian kabinet juga perlu disesuaikan dengan paras pandangan mata ketika menonton untuk keselesaan.
5. Warna
Pemilihan warna kabinet televisyen memainkan peranan dalam mengekalkan keindahan dan gaya ruang tamu.
Warna neutral seperti putih, kelabu, beige atau kayu semula jadi sering menjadi pilihan.
Ini kerana, ia mudah dipadankan dengan pelbagai gaya dekorasi, sama ada moden, minimalis atau klasik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




