am@hmetro.com.my
Tampin: Setiap ibu bapa yang memiliki anak istimewa pasti mengimpikan kemudahan yang dapat membantu merangsang perkembangan demi kesejahteraan hidup mereka.
Lebih-lebih lagi, kanak-kanak istimewa mempunyai keperluan khusus yang perlu dititikberatkan bagi membantu mereka menjalani kehidupan dengan lebih baik.
Antaranya, mereka memerlukan ruang khas untuk meningkatkan kemahiran kognitif dan keyakinan bagi berdepan dunia.
Justeru, bilik terapi sensori mampu membantu anak-anak istimewa mempelajari cara merangsang deria dengan selamat, mengawal emosi, melatih motor halus dan kasar serta meningkatkan kemahiran sosial mereka.
Walaupun sudah menyediakan Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald di seluruh negara dan menyantuni kanak-kanak berkeperluan khas untuk menjalani terapi secara percuma, kemudahan berkenaan dilihat masih belum mencukupi berikutan permintaannya terus meningkat saban tahun.
Pengurus Besar Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia), Mohd Nasri Mohd Nordin berkata, pihaknya melihat keperluan lebih banyak fasiliti itu diwujudkan terutamanya di luar bandar.
“Kita dapati banyak pusat jagaan anak autisme tidak mempunyai kemudahan bilik terapi seperti ini, dan jika ada sekalipun, kosnya tinggi, tidak mampu ditanggung kebanyakan ibu bapa.
“Selain itu, banyak kemudahan seperti ini berada di kawasan bandar utama sahaja, manakala di hospital atau klinik kesihatan kerajaan pula, jumlah pesakitnya terlalu ramai,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Tambah beliau, pihaknya terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi membangunkan dan menyelenggara pusat sensori dengan kepakaran RMHC sejak 1999.
Jelasnya lagi, Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald kini terdapat di hospital, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dan pusat jagaan anak autisme di seluruh negara. Secara keseluruhan, RMHC telah membantu menyediakan 36 Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald di seluruh negara yang telah memanfaatkan kira-kira 4,500 kanak-kanak berkeperluan khas setiap tahun.
“Terdapat kemudahan yang sedia ada seperti di PPDK namun ia tidak aktif atau tidak diselenggarakan. Untuk wujudkan pusat terapi sensori mungkin lebih mudah, tetapi untuk mengekalkan susah.
“Sebab itu, kami tampil sebagai pemangkin untuk menggalakkan institusi lain, terutama syarikat korporat dan swasta untuk sama-sama membantu menyediakan fasiliti ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui pihaknya tidak akan berjaya tanpa sokongan padu McDonald’s Malaysia, pelanggan dan rakan niaga yang menderma bagi meneruskan misi RMHC.
Sementara itu, Pakar Terapi Cara Kerja RMHC Malaysia, Muhammad Yusof Abdul Kadir berkata, Bilik Terapi Sensori McDonald’s di Tampin adalah satu-satunya kemudahan yang terletak di kawasan restoran McDonald’s.
Katanya, bilik terapi itu dianggap paling komprehensif kerana menggabungkan pelbagai ciri terapi yang sesuai untuk membantu perkembangan kanak-kanak istimewa.
“Sesetengah bilik terapi hanya menyediakan satu kategori terapi sahaja, tetapi di sini ia dilengkapi dengan pelbagai peralatan seperti lampu interaktif, permainan sensori, muzik latar yang menenangkan.
“Ia turut dilengkapi bahan rangsangan visual bagi membantu kanak-kanak menenangkan diri, meningkatkan tumpuan serta merangsang perkembangan deria mereka,” katanya.
Nur Azimah Md Rosli, 30, ibu kepada Naurah Sofea Nur Aliff Izzuddin, 6, berkata, anaknya mempunyai simptom Sindrom Down dan pada berusia empat tahun diuji dengan penyakit tuberkulosis meningitis.
“Sebelum ini kami sempat hantarnya ke PPDK ketika berusia tiga tahun. Tetapi di situ, kaedah berbeza dengan terapi di Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald ini kerana saya boleh lihat banyak perbezaan perkembangannya.
“Sebagai suri rumah manakala suami bekerja di Majlis Daerah Tampin (MDT), rasanya kami tidak mampu menampung yuran jika ke pusat terapi berbayar. Alhamdulillah di sini, ia percuma.
“Kami sangat bersyukur kerana ada kemudahan seperti ini di kawasan luar bandar, bukan sahaja dekat, malah ia juga percuma. Memang sangat membantu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




