razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Siapa sangka, ruangan Salam Perantau di Harian Metro yang sekian lama menjadi tatapan dan sumber inspirasi akhirnya menjadi kenyataan buat seorang anak Malaysia yang kini menimba ilmu di bumi asing.
Bagi Qistina Affandi, 31, kenangan melihat wajah-wajah perantau di dada akhbar ini sejak usia remaja menjadi titik awal yang menyalakan impiannya untuk melangkah lebih jauh dalam dunia akademik.
Anak bongsu daripada tiga beradik yang berasal dari Melaka itu kini sedang menyambung pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Politik dan Hubungan Antarabangsa di University of Auckland, New Zealand.
“Kini saya sedangkan jalankan kajian berkaitan hak pendidikan kanak-kanak pelarian di Malaysia dan sudah memasuki tahun ketiga pengajian.
“Insya-Allah, ada lebih kurang setahun setengah lagi sebelum saya menamatkan pengajian. Perjalanan ini bukan mudah, tetapi saya pegang pada impian sejak kecil,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Qistina berkata, dia mula mengenali ruangan Salam Perantau sejak sekitar 2005 atau 2006 apabila abangnya yang juga pembaca setia Harian Metro sering membawa pulang akhbar itu ke rumah.
“Saya masih ingat satu gambar pelajar wanita di University of Leeds berdiri di ladang tulip. Bagi orang lain mungkin biasa, tapi bagi saya itu satu janji kepada diri sendiri.
“Pak cik saya juga pernah muncul di ruangan sama ketika belajar di Australia. Dari situ, saya mula percaya bahawa impian itu boleh dicapai,” katanya.
Menurutnya, setiap kali Ramadan dan Syawal menjelma, ruangan itu antara yang paling dinantinya kerana ia membakar semangatnya untuk terus berusaha.
“Dalam hati saya selalu berbisik, satu hari nanti giliran saya pula menghantar salam dari bumi asing. Bila impian itu jadi kenyataan pada 19 Mac lalu saya rasa sangat sebak,”katanya.,” katanya.
Menyentuh mengenai sambutan Aidilfitri, Qistina mengakui ia adalah detik paling berat apabila terpaksa berjauhan daripada keluarga tercinta.
“Tahun pertama dulu, saya menangis setiap kali dengar takbir raya. Lagu raya pun boleh buat saya hiba kerana terlalu rindukan keluarga.
“Walaupun berada jauh di perantauan, saya tetap berusaha mengekalkan tradisi dengan menyediakan kuih raya seperti tart dan suji serta mengenakan pakaian tradisional,” katanya.
Qistina berkata, pengalaman di perantauan banyak mengajarnya tentang erti berdikari dan menghargai keluarga yang sebelum ini sering dianggap dekat tetapi tidak disedari nilainya.
“Bila berjauhan ribuan kilometer, barulah saya sedar keluarga adalah nikmat terbesar. Raya di sini sunyi, tetapi ia mengajar saya erti kesyukuran yang sebenar,” katanya.
Dia berharap kisahnya mampu menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus mengejar impian walau di mana jua berada.
“Kalau dulu saya hanya pembaca, hari ini saya sendiri menjadi sebahagian daripada kisah itu. Saya harap ia memberi semangat kepada orang lain untuk tidak pernah berhenti bermimpi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



