Ruediger selesa 'watak jahat', dakwa publisiti negatif tetap bawa perhatian

Ruediger selesa 'watak jahat', dakwa publisiti negatif tetap bawa perhatian

Winston-Salem: Pertahanan Jerman, Antonio Ruediger mengakui dia tidak kisah terus dilabel sebagai “watak jahat” dalam bola sepak dunia dan menganggap sebarang publisiti tetap memberi manfaat walaupun sering dikritik atas sikap agresifnya di atas padang.

Pemain Real Madrid itu berkata, setiap tindakan di atas padang kini mudah menjadi bahan perdebatan di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai tafsiran terhadap aksinya.

“Saya menghormati semua pandangan. Saya juga sudah minta maaf sebelum ini untuk beberapa perkara. Tapi ada juga kritikan yang terlalu dibesarkan,” kata Ruediger dalam sidang media.

“Dalam dunia media sosial, semua benda boleh jadi klik. Jadi saya nampak ada sisi positif. Nama saya tetap disebut,” tambahnya.

Ruediger sebelum ini beberapa kali terpalit kontroversi termasuk digantung enam perlawanan selepas insiden membaling objek ke arah pengadil dalam aksi final Copa del Rey 2025 di Sepanyol, selain pernah dikritik ketika Piala Dunia 2022 selepas dianggap mempersendakan pemain Jepun.

Walaupun tidak lagi menjadi pilihan utama dalam kesebelasan Jerman selepas kehilangan tempat kepada Jonathan Tah, pemain pertahanan itu berkata dia tetap tenang dengan peranannya sebagai pemain simpanan ketika pasukan bersedia menentang Ivory Coast dalam aksi Kumpulan E.

Jerman bermula garang dalam kempen kali ini apabila membelasah Curacao 7-1 dalam aksi pembukaan.

Ruediger menegaskan setiap negara mempunyai cara berbeza menilai pemain agresif, namun dia tidak mahu terlalu memikirkan perdebatan di media sosial.

“Biarlah media sosial jadi media sosial. Kita hidup dalam dunia sebenar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top