Rugi beli saham sampai ada kena cerai, menumpang rumah anak

Rugi beli saham sampai ada kena cerai, menumpang rumah anak

PETALING JAYA: Gara-gara mahu cepat kaya, terdapat kalangan pembeli Saham Tebus Islam (Islamic Redeemable Share-PRS-i) mendakwa mereka bukan sahaja rugi malah  terpaksa menumpang di rumah anak dan bercerai  kerana duit hagus begitu sahaja.

Semalam  Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menerima 330 aduan membabitkan kerugian lebih RM100 juta berhubung dakwaan rugi  akibat membeli  saham PRS-i.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, aduan itu dibuat ke atas sebuah syarikat yang didakwa tersenarai di Bursa Malaysia dipercayai wujud sejak tahun 2021.

Menurut beliau, pihak beliau percaya setakat ini kira-kira 700 individu di seluruh negara rugi akibat  memberi saham daripada skim PRS-i.

“Seramai 330 individu tampil kepada kita sejak  dua minggu lalu bagi membuat aduan dengan kerugian dianggarkan RM100 juta dan daripada jumlah itu, 150 individu sudah membuat laporan polis,” katanya ketika ditemui bersama kira-kira 100 mangsa di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, mangsa mendakwa mereka tertarik dengan tawaran RPS-i apabila dijanjikan dengan pulangan dividen sehingga 18 peratus setahun atau 1.8 peratus setiap bulan kepada setiap ‘subscriber’ yang membeli RPS-I. 

DIVIDEN

“Masalah mulai timbul apabila mangsa kata mereka tidak lagi menerima bayaran dividen bermula pada Mei tahun lalu. 

“Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, mangsa kemudian dimaklumkan bahawa syarikat itu akan membuat ‘early redemption’ (penebusan awal) ke atas RPS-i yang dibeli oleh mangsa,” katanya. 

Beliau berkata,  mangsa-mangsa turut mendakwa syarikat itu  menyalahgunakan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang kononnya memberi kelulusan untuk melaksanakan pelaburan selamat. 

“Ia menyebabkan mangsa terpedaya bahawa syarikat itu dikawal selia oleh SC. Malah, syarikat tersebut mendakwa pelaburan yang dibuat adalah patuh syariah dan tersenarai di Bursa Malaysia. 

“Syarikat ini juga didakwa menggunakan nama ikon pelaburan ternama bagi ‘memancing’ mangsa supaya menyertai pelaburan berkenaan,” katanya. 

 Malah, katanya, terdapat mangsa yang tampil memaklumkan dirinya  diceraikan kerana simpanan habis akibat pelaburan tersebut.  

“Malah, ada mangsa berusia 60 tahun yang sepatutnya menikmati hasil pelaburan  terpaksa menumpang rumah anak kerana wang simpanan habis digunakan untuk melabur. 

“Justeru, kami berharap pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap laporan yang dibuat ke atas syarikat pelaburan  yang menyebabkan mereka terpedaya dan rugi,” katanya. – UTUSAN 

Scroll to Top