Rugi tak dapat dua aksi persahabatan antarabangsa kelas A – Pekan

Rugi tak dapat dua aksi persahabatan antarabangsa kelas A – Pekan

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kegagalan mendapatkan dua aksi persahabatan antarabangsa berstatus ‘A’ sebenarnya satu kerugian buat skuad Harimau Malaya dalam misi untuk layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

Berdasarkan pungutan mata ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) ketika ini, skuad negara kini menghimpun 1117.64 mata dan hanya ketinggalan 15.88 mata di belakang India yang kini mengumpul 1133.52 mata di tangga ke-126 manakala Malaysia di kedudukan ke-132 dunia.

Jika anak buah Pau Marti Vicente mampu mengatasi jurang mata dengan India itu, peluang buat skuad negara untuk berada dalam Balang Satu cukup cerah, sekali gus dapat mengelak daripada diundi sekumpulan dengan pasukan kuat nanti.

Perlu diketahui, format Kelayakan Piala Asia 2027 kali ini tidak sama seperti format Kelayakan Piala Asia 2023 di Qatar apabila hanya juara kumpulan sahaja akan layak ke Arab Saudi.

Situasi itu berbeza dengan format edisi sebelum ini apabila juara dan lima naib juara terbaik meraih tiket ke Piala Asia dengan Malaysia layak ke Qatar sebagai naib juara terbaik di belakang Bahrain pada pusingan kelayakan 2022 lalu.

Lantas, jendela aksi antarabangsa pada bulan ini dan bulan depan seharusnya digunakan sebaiknya dengan mencari sekurang-kurangnya dua perlawanan Tier 1 bagi membolehkan skuad negara mengumpul mata ranking sambil mengharapkan India tercicir mata.

Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli mengakui hairan apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hanya mampu mengatur satu perlawanan berstatus ‘A’ menentang New Zealand pada 14 Oktober ini, sedangkan sejak Jun lalu sudah mengetahui yang Malaysia tidak layak beraksi di pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.

“Adakah ini kelemahan sekretariat FAM atau soal ranking kita yang rendah menyebabkan pasukan di luar sana tidak mahu menentang kita.

“Pertama, bagaimanakah tahap hubungan Setiausaha Agung FAM dengan anggota persatuan negara lain?. Adakah wujud kelemahan dari sudut perhubungan dengan rakan negara lain.

“Keduanya, bagaimana FAM yang memiliki wakil dalam Fifa tidak mampu mengatur perlawanan. Bagi saya kita rugi tidak dapat gunakan sebaiknya untuk pastikan kita dapat kumpul mata ranking,” katanya kepada Arena Metro.

Selain aksi bulan ini, FAM mengesahkan sudah mengatur satu lagi aksi persahabatan Tier 1 dalam jendela aksi antarabangsa November ini dengan menentang India, manakala satu lagi perlawanan masih dalam perbincangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top