Ruhainies dedah netizen melampau, banyak komen toksik

Ruhainies dedah netizen melampau, banyak komen toksik

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon, Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 33, mengakui semakin jarang membuka media sosial kerana enggan terkesan dengan komen toksik netizen.

Menurutnya, situasi itu bukan hanya menimpa golongan selebriti, malah orang awam turut berdepan nasib sama apabila menjadi mangsa kecaman.

“Sekarang ini media sosial pun saya dah jarang buka. Saya memilih untuk tidak baca komen kerana terlalu banyak komen toksik. Ada yang sampai buat parodi.

“Apa yang saya perhatikan, bukan saya seorang saja yang menghadapinya tetapi orang awam pun turut jadi mangsa.

“Cuma mungkin saya selebriti jadi lebih teruklah saya dikecam. Tapi saya lihat artis lain pun berdepan nasib sama, kadang-kala hantaran mereka biasa saja tetapi tetap ada komen negatif,” katanya kepada Harian Metro.

Ruhainies berkata, dia melihat trend pengguna media sosial kini semakin melampau berbanding sebelum ini.

“Semakin hari saya lihat pengguna media sosial makin merepek dan melampau. Dulu lebih relaks dan santai, mungkin kekangan ekonomi dan kesihatan mental menjadikan media sosial kian toksik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, pelakon drama Aku Isterinya itu berkongsi rasa teruja untuk kembali ke set penggambaran selepas hampir setahun berehat daripada dunia lakonan.

“Memang tak sabar nak kembali semula ke set selepas hampir setahun juga berehat. Saya hanya berehat daripada dunia lakonan tetapi kempen untuk media sosial tetap berjalan seperti biasa.

“Insya-Allah ada lagi beberapa projek menanti, yang akan saya umumkan di media sosial tak lama lagi. “Saya pun baru selesai satu projek bersama TV3. Saya rasa dah lama sangat berehat jadi dah tiba masanya untuk saya kembali berlakon,” kata Ruhainies ditemui di acara Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) di sini, malam tadi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top