Ruhainies dimasukkan ke hospital dua hari sebelum sambutan hari lahir

Ruhainies dimasukkan ke hospital dua hari sebelum sambutan hari lahir

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon, Ruhainies, 33, meluahkan rasa syukur kerana keadaan kesihatannya beransur pulih selepas dimasukkan ke hospital akibat demam panas berlarutan selama tiga hari iaitu dua hari sebelum ulang tahun kelahirannya.

Menerusi hantaran di Instagram (IG), Ruhainies atau nama sebenarnya, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas berkata, dia juga mengucapkan terima kasih kepada doktor dan jururawat yang menjaganya sepanjang dirawat di hospital.

“Dimasukkan ke wad dua hari sebelum sambutan hari lahir, selepas tiga hari mendapat demam panas berlarutan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dalam proses pemulihan sekarang. “Berbanyak terima kasih kepada pasukan doktor yang bagus dan jururawat yang menjaga saya dengan sangat baik,” tulisnya di kapsyen.

Pada masa sama, Ruhainies turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa peka terhadap kesihatan diri sendiri dan menitikberatkan gaya hidup sihat.

“Kepada semua, minum banyak air dan jaga kesihatan anda dengan baik. Kesihatan adalah kekayaan,” tulisnya.

Sementara itu, perkongsian Ruhainies juga menerima pelbagai reaksi daripada peminat dan rakan selebriti yang turut mendoakan agar dirinya segera sembuh dan kembali aktif seperti biasa.

Dalam foto yang dimuat naik, pelakon itu tetap nampak ceria meskipun berada di katil hospital.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top