Manila: Di Manila yang sesak, sebahagian penduduk terpaksa mencari perlindungan di antara orang mati akibat kemiskinan dan kekurangan perumahan sesuai.
Laileah Cuetara, 36, mendirikan pondok kecilnya di atas dua kubur di Perkuburan Manila Utara, tanah perkuburan awam seluas 54 hektar yang menempatkan kira-kira 6,000 penduduk tidak formal dan sekurang-kurangnya satu juta jasad.
Pondok itu dihiasi tilam span buih, rak, televisyen dan bingkai gambar, manakala patung malaikat diletakkan di atas kubur bayi yang berfungsi juga sebagai meja.
Difahamkan, Cuetara tinggal bersama pasangan dan dua anaknya, memperoleh kira-kira 3,000 peso (kira-kira RM214) sebulan dengan menjual manisan, minuman dan biskut kepada pengunjung tanah perkuburan.
Sepanjang cuti All Saints’ Day, pasangan itu memperoleh sehingga 1,700 peso (kira-kira RM121) bagi setiap 30 kubur yang mereka bersihkan dan jaga sepanjang tahun.
Namun, kata Cuetara, pendapatan berkenaan tidak mencukupi untuk mereka berpindah ke tempat lain.
“Dengan harga barangan asas yang tinggi sekarang, sangat sukar untuk memperbaiki keadaan hidup kami,” katanya.
Tambah Cuetara, tinggal di tanah perkuburan bukan pilihan utama, malah anaknya dibuli di sekolah kerana alamat keluarga mereka, manakala anak perempuannya sentiasa melukis rumah di dalam pondok kecil itu.
“Kami semua di sini bermimpi memiliki rumah di luar, tetapi ia sangat sukar,” katanya.
Media melaporkan, Cuetara berpindah ke tanah perkuburan pada 2008 selepas konflik keluarga memaksanya meninggalkan rumah di pinggir bandar Manila.
Dalam pada itu, bekas ahli kongres Filipina menganggarkan tiga juta penduduk Metro Manila tiada rumah mencukupi, manakala laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2023 meramalkan sehingga 22 juta orang di seluruh negara kepulauan itu mungkin menghadapi masalah sama menjelang 2040.
Bagi Priscilla Buan, 51, yang dilahirkan dan membesarkan anak-anaknya di tanah perkuburan, perintah perobohan akibat aduan pengunjung adalah ancaman paling menakutkan.
“Setiap kali terdengar perintah perobohan, kami keluarkan barang-barang dan menyembunyikannya di bangunan kubur lain supaya tidak kelihatan…perobohan berlaku sekurang-kurangnya sekali setahun,” katanya, sebagai generasi ketiga yang tinggal di tempat itu.
Buan dan keluarganya tidur di atas dua kubur dalam sebuah bangunan makam, manakala baki ruang dijadikan ruang tamu dengan sofa, kabinet atau perkakas dan dia menjual snek serta barangan kecil melalui tingkap bergril.
“Walaupun saya mahu, kami tidak mempunyai wang untuk membeli rumah,” katanya.
Sementara itu, Vicente Eliver dari Yayasan Kapatiran-Kaunlara berkata, bilangan penduduk tanah perkuburan meningkat sejak 2010 apabila anak-anak penjaga kubur menetap di tempat itu bersama keluarga mereka.
Kebanyakan penduduk mendakwa, mereka dibenarkan menetap di bangunan kubur atau membina pondok kecil di atas kubur dengan syarat menjaga kebersihan, menggunakan talian elektrik sedia ada dan membayar tiga peso (kira-kira 21 sen) bagi setiap gelen (3.7 liter) air dari perigi berhampiran.
Pengarah tanah perkuburan, Daniel Tan turut menegaskan, susunan ini bukan untuk jangka panjang kerana tanah perkuburan sepatutnya untuk orang mati, bukan hidup, namun mereka dibenarkan bagi menjaga bangunan kubur.
© New Straits Times Press (M) Bhd



