
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) bercakap kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Peluncuran Program Ekonomi MADANI Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD), Kem Batu Tiga hari ini. Foto Bernama
KLUANG – UMNO terbuka dan tidak pernah memilih menerima mana-mana bekas ahli atau pemimpin politik untuk menyertai Rumah Bangsa.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semua pihak boleh menyertai Rumah Bangsa yang diilhamkan oleh Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Kita terbuka untuk terima siapa sahaja kerana rumah kita Rumah Bangsa, maknanya rumah kita itu besar.
“Kita terima sesiapa sahaja,” katanya juga Pengerusi Jawatankuasa Rumah Bangsa.
Beliau berkata demikian dalam akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Ekonomi Madani di Kem Batu Tiga, di sini, pada Selasa.
Pada Ahad, UMNO Terengganu dilaporkan sedia membuka pintu kepada Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid untuk kembali menyertai parti itu susulan tindakan disiplin yang dikenakan terhadapnya oleh Bersatu.
Pada Isnin, empat lagi pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dikenakan tindakan disiplin termasuk dua dipecat dan dua digantung keahlian berkuat kuasa serta-merta.
Menerusi notis dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan pada Isnin, Ketua Armada Bahagian Parit Parti, Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsuddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kok Lanas, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi dipecat daripada parti itu.
Manakala, Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas dan ADUN Bukit Bunga, Mohd Almidi Jaafar dikenakan tindakan penggantungan hak keahlian bagi tempoh dua penggal pemilihan Bersatu.
Pada 9 Mei lalu, Lembaga Disiplin Bersatu turut memecat dua ADUN Kedah iaitu Abdul Razak Khamis dan Dzowahir Ab Ghani, selain menggantung tujuh lagi wakil rakyat parti itu selama dua penggal pemilihan.



