Rumah dipecah masuk, emas, duit mas kahwin, kereta lesap

Rumah dipecah masuk, emas, duit mas kahwin, kereta lesap

am@hmetro.com.my

Sungai Petani: Sepasang suami isteri yang baru pulang dari kerja terkejut apabila mendapati rumah mereka di Bandar Puteri Jaya, di sini dipecah masuk pencuri, Isnin lalu.

Nur Amizah Hadirah Jamaludin, 20-an dan suaminya, Ameer Syafiq Shamsuri, 20-an, masing-masing bekerja di Pulau Pinang dan hanya menyedari kejadian itu pada jam 6.45 petang hari yang sama.

Menurut Nur Amizah, berdasarkan maklumat daripada jirannya, ada individu datang ke rumahnya sekitar jam 8 pagi hari kejadian tetapi jirannya menyangka mungkin individu terbabit adalah ahli keluarga mereka.

Katanya, dia dan suaminya bertolak ke tempat kerja pada jam 6.30 pagi hari itu untuk mengelak kesesakan ke tempat kerja.

“Bila pulang ke rumah pagar hadapan tertutup manakala pintu rumah pula terkopak.

“Kereta Suzuki Swift putih milik kami juga didapati hilang dan keadaan dalam rumah pula berselerak.

“Barangan kemas termasuk emas yang kami simpan serta duit mas kahwin juga hilang dan kami baru berpindah ke sini lima bulan lalu, ” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nur Amizah berkata, berikutan itu, dia dan suaminya membuat laporan polis pada hari kejadian untuk melaporkan kejadian yang berlaku.

Katanya, selain itu mereka turut menular kejadian itu di media sosial selain berharap orang ramai yang melihat kejadian itu menghubungi mereka untuk tindakan lanjut.

“Ganjaran akan diberikan jika ada sesiapa yang mempunyai maklumat tepat berhubung kehilangan barangan saya ini dan boleh laporkan kepada polis,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan mereka mengalami kerugian lebih RM10,000.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top