KUALA LUMPUR – Pelawak, Ali Puteh meluahkan rasa terkejut selepas menerima notis mahkamah berhubung perintah sita kediaman arwah ibunya, Sabariah Arshad di Gombak.
Ali atau nama penuhnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan berkata, dia mendapat panggilan telefon daripada bapa saudara yang mengatakan rumah itu sudah mendapat perintah pihak mahkamah untuk disita.
“Jadi saya peliklah, ini harta arwah mak saya, kenapa pula dijadikan sebagai cagaran atau pun sita. Kes RM60,000 ini adalah antara saya dengan balu arwah abang saya,” katanya dalam temubual bersama Melodi TV3 semalam.
Ali atau nama penuhnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan menambah, harta milik arwah ibunya dengan hutang RM60,000 kepada kakak iparnya, Siti Norhidayah Mohd. Ali yang masih tertunggak adalah dua isu berbeza.
“Saya pelik, kenapa kaitkan harta arwah mak saya dan dicampur adukkan dalam kes saya dengan balu arwah abang sebanyak RM60,000 itu.
“Rumah tersebut adalah atas nama arwah mak saya, arwah bapa tiri saya. Bukannya nama saya. Mana hati budi seseorang? Saya ini ada anak kecil.
“Dengan surat bercop dari mahkamah, benda ini tak sepatutnya terjadi. Nak balas dendam kononnya ini hukum karma. Tak sebenarnya bukan, saya sudah tekankan kes ini berlainan,” katanya.
Berhubung ganti rugi RM60,000 itu, Ali mengaku belum melunaskan sebarang pembayaran kepada Norhidayah disebabkan pendapatannya yang tidak menentu.
“Ramai tanya RM60,000 itu sudah bayar ke belum. Memang belum buat bayaran sebab kes ini, pendapatan saya sudah tak macam dulu.
“Bukannya saya menolak untuk bayar RM60,000 itu, saya akan cuba bayar juga. Cuma saya tak boleh nak campak sekali gus sebab saya pun ada tanggungan, dengan kerjaya tak ada langsung. Mungkin kita cuba bayar secara ansuran,” luahnya.
Pada Disember lalu, Ali gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan dirinya membayar ganti rugi berjumlah RM60,000 kepada kakak iparnya kerana memfitnah dalam laman sosial Instagram, dua tahun lalu. – MalaysiaGazette