faris.fuad@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Kegiatan tiga lelaki menjadikan sebuah rumah dekat Taman Sri Sinar di sini, sebagai pusat panggilan aktiviti judi dalam talian terbongkar apabila diserbu polis semalam.
Dalam serbuan pada jam 4.30 petang itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menahan lelaki terbabit berusia antara 21 hingga 36 tahun.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata turut dirampas 11 telefon bimbit, tiga komputer riba, enam kad akses, satu set kunci rumah dan satu ‘router’ (penghala akses internet) bagi membantu siasatan.
“Hasil siasatan mendapati ketiga-tiga suspek itu berperanan sebagai penjaga premis pusat panggilan berkenaan.
“Aktiviti itu dipercayai beroperasi sejak tujuh bulan lalu dengan berselindung di sebalik rumah pangsapuri persendirian.
“Mereka direman sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd