Beijing: Sebuah rumah lengkap berperabot berharga kurang AS$20,000 (kira-kira RM56,800) dilaporkan dibawa merentasi Lautan Pasifik ke Amerika Syarikat (AS).
Memetik Asia News Network, rumah jenis ‘flat-packed’ seluas kira-kira 71.5 meter (m) persegi itu tiba dalam keadaan sedia untuk didiami. Ia dilengkapi bilik tidur, dapur, bilik air berasingan dan tingkap siap dipasang.
Pembelian rumah itu dilakukan pencipta kandungan YouTube, Grateful Off-Grid, yang menganggap ia bukan sekadar rasa ingin tahu tetapi sebuah kediaman.
Dalam video tular, pasangan dari AS itu merakam proses membuka rumah kontena boleh kembang buatan China yang ditempah melalui platform e-dagang Alibaba.
Difahamkan, dengan bantuan kren, rumah yang tiba dalam bentuk kit itu dibuka menjadi ruang kediaman dalam tempoh sehari.
Rumah berkenaan dibeli pada harga AS$15,800 (kira-kira RM44,872) sebelum kos tambahan seperti penghantaran, tarif dan yuran menjadikan jumlah keseluruhan AS$28,689 (kira-kira RM81,476).
Jumlah itu bagaimanapun masih jauh lebih rendah berbanding kos rumah tradisional di kebanyakan kawasan di AS.
Pengalaman pasangan itu turut menarik perhatian ramai apabila ada netizen membandingkan kos sewaan apartmen di negara itu yang boleh mencecah AS$12,000 (kira-kira RM34,080) hingga AS$15,000 (kira-kira RM42,600) setahun.
Dalam pada itu, rumah pasang siap buatan China itu hadir dalam pelbagai bentuk termasuk rumah kecil, kontena boleh lipat, kabin kapsul futuristik dan vila modular mewah dengan jangka hayat sekitar 50 tahun.
Harga unit asas bermula di bawah AS$10,000 (kira-kira RM28,400), manakala model lebih besar boleh mencecah antara AS$30,000 (kira-kira RM85,200) hingga AS$100,000 (kira-kira RM284,000) bergantung kepada saiz dan reka bentuk.
© New Straits Times Press (M) Bhd




