Nama pelakon popular Rebecca Nur Al Islam kembali menjadi sebutan selepas tular di media sosial mengenai satu iklan lelongan sebuah rumah mewah yang dikatakan miliknya.
Menerusi iklan yang tersebar, kediaman tiga tingkat lengkap dengan kolam renang itu dilaporkan bakal dilelong hari ini dengan harga permulaan RM2.9 juta, jauh lebih rendah daripada nilai asal RM4.5 juta.
“Rumah Rebecca Nur Islam akan dilelong oleh bank esok, 12 November (hari ini). Bank value RM4.5 juta, harga lelong RM2.9 juta. Rumah tiga tingkat, ada kolam renang, terletak di Ampang,” tulis pengguna akaun Fakta Bukan Auta di platform X.

Perkongsian itu telah meraih perhatian ramai apabila gambar dan butiran kediaman mewah berkenaan mula berlegar di media sosial, mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan warganet.
Walaupun tiada butiran rasmi mengesahkan pemilik sebenar rumah itu, ramai pengguna mendakwa kediaman berkenaan adalah milik aktres berkenaan.
Difahamkan, rumah berkonsepkan banglo moden eksklusif yang terletak di Ampang, Selangor itu mempunyai keluasan sekitar 8,224 kaki persegi, dilengkapi kemudahan kolam renang peribadi serta reka bentuk dalaman yang elegan.
Setakat ini, Rebecca masih belum tampil memberikan sebarang kenyataan mengenai isu tular tersebut.
Sumber: Harian Metro




