Rumah PPR terbakar, kanak-kanak lelaki ditemui rentung dalam bilik

Rumah PPR terbakar, kanak-kanak lelaki ditemui rentung dalam bilik

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditemui rentung dalam kebakaran sebuah unit pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan kejadian pada 2.59 petang dan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jalil bersama BBP Sri Petaling bergegas ke lokasi.

Sebanyak dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu jentera unit Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan 13 anggota terbabit operasi menyelamat.

Komander Operasi Kanan JBPM Kuala Lumpur Mohd Azizi Abdullah berkata, sebaik pasukan tiba, didapati kebakaran membabitkan sebuah rumah di tingkat 10 bangunan berkenaan.

“Tindakan pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran salur bantu mula daripada sistem bangunan. Api berjaya dikawal sepenuhnya pada 3.17 petang, dengan anggaran kemusnahan 80 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, seorang kanak-kanak lelaki ditemui di dalam bilik dalam keadaan rentung.

“Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top