mdroji@bh.com.my
Kuching: Hujan lebat disusuli ribut kencang menyebabkan beberapa kediaman di kawasan Batu Kawa di sini, rosak teruk, lewat petang hari ini.
Pokok tumbang serta papan tanda yang tercabut dilanda ribut turut merosakkan beberapa kenderaan termasuk di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Batu Kawa.
Tinjauan di Kampung Sinar Budi Baru, Taman Desa Wira mendapati sebuah rumah dua tingkat mengalami kerosakan teruk apabila bumbung dan dindingnya runtuh.
Penghuni rumah terbabit, Mohd Suria Suhai, 39, ketika kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu dia baharu sampai di tempat kerjanya.
Menurutnya, sebaik menerima panggilan daripada rakannya yang memaklumkan kejadian itu, dia bergegas balik.
“Sampai sahaja di rumah, luluh hati saya melihat tingkat atas sudah ranap. Bumbung diterbangkan angin kuat manakala dinding pula runtuh.
“Terdapat tiga bilik tidur di tingkat atas dan semuanya rosak teruk, manakala di tingkat bawah pula bahagian siling runtuh,” katanya.
Mohd Suria berkata, nasib baik ketika kejadian itu ibunya, Miri Daud, 74, tiada di rumah kerana berada di rumah kakaknya di Petra Jaya.
“Biasanya ketika saya bekerja, ibu sendirian di rumah, tetapi dia kurang sihat sejak beberapa hari lalu dan tinggal di rumah kakak,” katanya.
Selain kerosakan tingkat atas, bumbung bahagian tempat letak kereta turut mengalami kerosakan dihempap pokok tumbang.
Kejadian hujan lebat dan ribut petir itu berlaku tiba-tiba bermula kira-kira jam 6.30 petang selepas seluruh Sarawak dilanda jerebu akibat cuaca panas melampau sejak seminggu lalu.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir di beberapa bahagian di Sarawak petang tadi membabitkan kawasan sekitar Kuching, Serian, Samarahan, Sibu, Mukah dan Bintulu.
© New Straits Times Press (M) Bhd