Sungai Buloh: Penghujung Syawal hari ini disambut meriah komuniti Semidara Residence di Saujana Utama (SU) 3, di sini menerusi penganjuran majlis rumah terbuka yang dihadiri penduduk pelbagai peringkat usia.
Majlis unik berkonsepkan dalam taman itu dianjurkan Jawatankuasa Penduduk Semidara Residence dengan kerjasama komuniti setempat bermula seawal jam 10 pagi.
Pelbagai juadah gabungan tradisional dan barat seperti nasi tomato, rendang, lemang, sate, nasi himpit, pulut kuning, tapai, bihun goreng, lasagna, macaroni dan aneka kuih-muih disediakan secara ‘potluck’.
Menurut jurucakap penganjur, program itu bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk yang berbeza latar belakang di kawasan berkenaan.
“Rumah terbuka ini bukan sahaja mengenai makanan, tetapi lebih kepada mengukuhkan perpaduan dan semangat kejiranan dalam suasana kemeriahan raya. Kami amat gembira melihat kehadiran majoriti penduduk dan berharap dapat menjadikan majlis ini sebagai acara tahunan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




