redzuan.muharam@hmetro.com.my
Shah Alam: Bagi menyantuni dan memastikan saudara baharu tidak hilang arah tuju, Muhammad Roger James Arnold mengambil inisiatif dengan menyediakan rumah transit buat mualaf lelaki yang baru memeluk Islam.
Menurut Muhammad Roger, 50, rumah transit itu terletak di U5, di sini, itu mula dibuka sejak tujuh tahun lalu dan disediakan sebagai tempat berteduh sementara khususnya buat saudara baharu yang tiada tempat tinggal.
Muhammad Roger yang juga Presiden Persatuan Inspirasi Muallaf berkata, dia membiayai sewa bulanan rumah dengan dana yang sebahagian besarnya diperoleh daripada infak orang ramai dan selebihnya wang jualan cenderahati persatuan serta bayaran diterima daripada ceramah diadakan.
“Rumah transit itu adalah sebuah pangsapuri dilengkapi tiga bilik dan kemudahan asas serta sebahagian usaha yang dilaksanakan menerusi inisiatif ‘work, pray, study‘ (bekerja, berdoa dan belajar) diperkenalkan persatuan.
“Buat masa ini, rumah transit berkenaan hanya untuk mualaf lelaki kini menempatkan lima orang di dalamnya. Matlamatnya adalah membantu meringankan beban kerana segelintirnya (mualaf) tiada rumah atau dulunya ada tetapi terpaksa keluar selepas dihalau keluarga yang tidak terima penghijrahan mereka.
“Idea rumah transit itu tercetus kerana mengenangkan pengalaman sendiri yang dulu pun pernah diuji dengan kesusahan selepas memeluk Islam 12 tahun lalu. Jadi, saya faham sangat dan tak nak saudara baharu melalui perkara yang sama,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat Persatuan Inspirasi Muallaf, Bandar Pinggiran Subang, di sini, kelmarin.
Bercerita lanjut, Muhammad Roger yang aktif sebagai pendakwah berkata, setiap mualaf diberi tempoh enam bulan hingga setahun untuk tinggal di rumah transit berkenaan serta perlu bekerja.
Katanya, setakat ini, sudah lebih 200 mualaf sudah dibantu dengan diberi peluang mendiami rumah transit berkenaan.
Bagi memastikan mereka istiqamah, Muhammad Roger turut menganjurkan kelas bimbingan agama di ibu pejabat persatuan bagi memberi pengisian rohani buat mualaf terbabit dan mana-mana saudara baharu yang berminat.
“Kelas itu bermula pada September tahun lalu dengan lima mualaf dan sekarang ada 30 orang yang turut serta.
“Ada dua tenaga pengajar di bawah persatuan dipertanggungjawabkan memberi bimbingan dan kelas itu bertujuan membuka peluang kepada mualaf belajar asas agama.
“Ia kerana ada yang mungkin masuk Islam sudah lama, boleh jadi sudah lima atau 10 tahun, tetapi tak belajar, jadi kita beri bimbingan dengan harapan mereka kenal dan faham mengenai Islam. Daripada situ mereka akan lebih beriman dan nak beribadah kepada Allah SWT,” katanya yang turut menyediakan pengangkutan buat mualaf terbabit dalam kelas bimbingan agama.
Menurutnya, usaha membantu mualaf akan diteruskan dan perancangannya kini adalah menyediakan kediaman kiub transit berasingan buat mualaf lelaki dan wanita.
“Lokasi sudah ada dan ada pelan susun atur dalam rumah itu nanti.
“Cuma kita perlu cari dana lagi untuk lengkapkan keperluan di dalam rumah itu demi keselesaan mualaf yang akan menghuninya,” katanya.
‘Kami masuk Islam dengan rela hati’
Sebelum ini tidak pernah terlintas di fikiran Muhammad Adam Sangili, 62, dan Mariam Muniandy, 58, untuk memeluk Islam, namun pasangan suami isteri itu berubah fikiran apabila mengucap dua kalimah syahadah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, pada 27 Januari lalu.
Menurut Muhammad Adam, dia akur dengan ketentuan Ilahi yang menetapkannya memeluk Islam pada usia emas.
“Saya tak pernah didatangi mimpi pun tapi saya masuk Islam dengan rela hati dan keinginan sendiri.
“Boleh nampak perubahan kerana sekarang hati saya lebih tenang berbanding dulu.
“Sebelum masuk Islam, saya minum (alkohol) tapi kini sudah tinggal semua itu kerana nak jadi lebih baik,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat Persatuan Inspirasi Mualaf, Bandar Pinggiran Subang, di sini, kelmarin.
Bagi mendalami Islam, Muhammad Adam mengikuti kelas bimbingan agama yang dianjurkan oleh Persatuan Inspirasi Muallaf.
“Ada empat hari kelas dalam seminggu dan di situ, saya belajar solat dan mengaji.
“Seronok dan saya dengan isteri memang selalu datang kerana kami nak belajar.
“Syukur ada yang bantu dan seronoknya masuk Islam kerana dapat solat dalam masjid, dulu cuma tengok saja dari luar,” katanya.
Sementara itu, Mariam yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal akibat dipotong kaki kiri kesan diabetes bersyukur kerana sempat menerima hidayah sebelum menutup mata.
Katanya, sebagai saudara baharu, banyak lagi yang perlu dipelajari namun dia teruja kerana masih berpeluang belajar dan mengenali Islam.
“Tak ada siapa yang paksa, saya dan suami sama-sama nak masuk (Islam).
“Kami pun masih dalam proses belajar agama termasuk baca al-Quran tapi belum boleh mengaji.
“Hati saya senang dapat belajar kerana tak pernah terfikir ada peluang itu dalam usia begini, cuma belum dapat berpuasa tahun ini, insya-Allah tahun depan,” katanya.
Menurutnya, keluarganya juga tidak menghalang dia dan suami memeluk Islam kerana menganggap itu urusan mereka.
Malah, salah seorang daripada tiga anaknya mengikuti jejak langkahnya apabila memeluk Islam sebulan selepas dia dan suami.
© New Straits Times Press (M) Bhd