am@hmetro.com.my
Baling: Rumah wanita warga emas yang tinggal bersama anak perempuannya yang rosak dirempuh sebuah kenderaan pacuan roda tengah malam tadi rupa-rupanya dikejar polis dan ada kaitan dengan kejadian curi kabel.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe berkata, pada jam 11.40 malam tadi, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling menerima panggilan dari bilik gerakan IPD Gerik, Perak meminta bantuan untuk menahan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux berwarna perak yang dinaiki individu disyaki kes curi kabel yang ketika itu menghala ke arah Kupang.
Beliau berkata, dalam kejadian itu, suspek bertindak memecut kenderaan dari arah Gerik menghala ke arah Kupang menyebabkan polis mengejar kenderaan terbabit.
“Kejadian itu membabitkan kenderaan peronda polis (MPV) IPD Gerik, MPV Pengkalan Hulu dan bantuan kenderaan dari peronda MPV Baling.
“Kenderaan yang dinaiki suspek kemudian terbabas di kawasan Parit Panjang dan melanggar sebuah rumah penduduk.
“Bagaimanapun penghuni rumah terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Brandon berkata, dua suspek lelaki itu berjaya melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.
Beliau berkata, semakan ke atas kenderaan yang dinaiki suspek itu mendapati, pemiliknya adalah wanita berusia 20-an.
“Hasil pemeriksaan lanjut yang dijalankan menemui 20 gulung kabel milik syarikat utiliti, sebuah pencungkil besi, tiga pemotong kabel, satu tukul pemecah batu dan sebuah telefon bimbit dipercayai milik suspek.
“Sehubungan itu, pihak IPD Baling menjalankan siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga maksimum RM15,000 dan lesen memandu digantung sekurang-kurangnya dua tahun.
“Pihak IPD Gerik menjalankan siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan boleh diseksa dengan penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, ” katanya.
Brandon berkata, bagi Seksyen 186 Kanun Keseksaan pula boleh dipenjara selama tempoh tidak lebih RM10,000 atau dengan denda tidak dengan kedua-duanya.
Beliau berkata, pihak polis memandang serius kejadian ini dan menyeru orang ramai untuk memberi maklumat serta membantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah dalam usaha membanteras jenayah curi kabel dengan menyalurkan sebarang maklumat melalui talian MERS 999 atau hubungi mana-mana balai polis berdekatan.
Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita warga emas dan anak perempuannya di Kampung Parit Panjang terselamat selepas dinding hadapan rumah mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda sekitar jam 12.20 tengah malam.
Dalam kejadian itu, Maimumah Idris, 76, yang tidak dapat berjalan sedang tidur bersama anaknya, Nasriah Baharom, 34, di ruang tamu rumah berkenaan sebelum dikejutkan dengan kejadian itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




