Istanbul: Pusingan pertama rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran bermula di ibu negara Pakistan, Islamabad, pada Sabtu bagi mengusahakan gencatan senjata kekal susulan tempoh bertenang selama dua minggu antara kedua-dua pihak.
Anadolu Ajansi yang memetik sumber rasmi melaporkan bahawa kedua-dua delegasi sedang mengadakan pertemuan berasingan dengan pegawai Pakistan di sebuah hotel bertaraf lima bintang di ibu negara itu bagi “menyelaras perkara asas” sebelum rundingan secara langsung dimulakan.
“Buat masa ini, kami belum dapat mengesahkan bila kedua-dua delegasi akan duduk semeja secara bersemuka.
“Pada masa ini, mereka sedang mengadakan perbincangan dengan pegawai Pakistan,” menurut sumber berkenaan.
“Rundingan penting yang dikenali sebagai “Rundingan Islamabad” itu bermula sejurus selepas pertemuan berasingan antara delegasi Iran dan AS dengan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif pada sebelah pagi.
Delegasi AS dan Iran tiba secara berasingan di Islamabad bagi rundingan itu, yang menandakan penglibatan peringkat tinggi paling signifikan antara kedua-dua pihak sejak 1979.
Naib Presiden AS JD Vance mengetuai delegasi Amerika yang turut disertai Utusan Khas Steve Witkoff dan Jared Kushner.
Delegasi Iran pula diketuai oleh Speaker Parlimen Bagher Ghalibaf, yang turut disertai Menteri Luar Abbas Araghchi dan Timbalan Majlis Keselamatan Kebangsaan Ali Bagheri Kani.
Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar mewakili Islamabad dalam rundingan berkenaan dengan dibantu oleh Panglima Angkatan Tentera Jeneral Asim Munir serta Menteri Dalam Negeri Mohsin Naqvi, menurut sumber dalaman.
© New Straits Times Press (M) Bhd




