Rundingan AS-Iran ditangguh?

Rundingan AS-Iran ditangguh?
Rundingan AS-Iran ditangguh?

Sesi dialog yang dijadualkan berlangsung di Islamabad pada Jumaat terpaksa ditangguhkan kerana pendirian tegas Iran. – Foto Agensi

TEHERAN – Rangkaian media di Teheran pada Jumaat menolak laporan yang mendakwa delegasi Iran melakukan perjalanan ke Pakistan untuk menyertai rundingan susulan bersama Amerika Syarikat (AS).

Ia, sekali gus mencetuskan persoalan sama ada dialog damai di Islamabad akan berlangsung seperti dijadualkan.

Press TV memetik laporan Tasnim News Agency melaporkan Menteri Luar, Abbas Araghchi dan Speaker Parlimen, Mohammad Baqer Qalibaf masih berada di tanah air.

“Laporan rangkaian media asing tentang ketibaan mereka pada lewat Khamis ternyata berita palsu. Tiada sesi dialog akan diadakan selagi Israel masih mengebom Lubnan dan AS tidak memenuhi komitmen mereka untuk melaksanakan gencatan senjata di Beirut,” menurut Tasnim memetik kenyataan sumber rapat delegasi itu.

Pada mulanya, kekeliruan timbul selepas Duta Iran ke Pakistan, Reza Amir Moghadam mendakwa delegasi terdiri daripada 10 pegawai kanan dari Teheran akan tiba di Islamabad.

Beliau bagaimanapun memadamkan catatan di platform X tersebut beberapa jam kemudian setelah Israel terus memperhebatkan serangan ganas ke atas Lubnan.

Terdahulu, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian turut menyuarakan kebimbangan terhadap serangan terbaharu Israel di Beirut di samping memberi amaran bahawa tindakan sedemikian boleh menjejaskan proses diplomatik.

“Tangan kami kekal di picu. Teheran tidak akan sekali-kali meninggalkan saudara kami di Lubnan,” katanya.

Di sebalik ketidaktentuan itu, Pakistan tetap meneruskan persiapan untuk menjadi tuan rumah rundingan berkenaan setelah Perdana Menteri, Shehbaz Sharif mengumumkan gencatan senjata selama dua minggu pada Rabu. – Agensi

 

Scroll to Top