am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Pencapaian yang baik dalam menjayakan rundingan perdamaian serta gencatan senjata konflik Thailand-Kemboja adalah hasil tanggungjawab bersama termasuk pimpinan ASEAN.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan itu juga disumbangkan oleh penugasan yang cemerlang Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Datuk Mohammad Nizam Jaffar.
“Panglima ATM jalankan tugas dengan sangat cemerlang, terus terbang ke Bangkok, Phnom Penh, ke sempadan untuk bincang dengan jeneral yang bertanggungjawab. Itu caranya, bukan saya (semata-mata).
“Saya jalankan tugas saya, Menteri Luar sama Menteri Luar, jeneral sama jeneral, barulah kita capai (rundingan perdamaian) seperti mana yang tercapai julung-julung kalinya satu perdamaian yang cepat..Alhamdulillah,” katanya ketika berucap di program Rancakkan Madani Kelantan di Dewan Utama Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian, di sini, hari ini.
Anwar berkata, hasil kejayaan rundingan perdamaian itu turut menarik perhatian Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang menghubunginya mengucapkan terima kasih atas usaha itu.
Sambil memberitahu kejayaan itu hasil kerjasama ramai pihak, Anwar memaklumkan bahawa Trump berhasrat untuk datang ke Kuala Lumpur pada Oktober ini.
“Trump telefon dan ucap terima kasih namun saya beritahu (rundingan damai) bukan saya seorang tapi pemimpin ASEAN lain juga, kerajaan Thailand dan Kemboja yang turut bertanggungjawab.
“Presiden Trump dan China pun ada bantu, jadi dia (Trump) ‘happy’ kata nak datang Kuala Lumpur Oktober ini.
“Kita adalah sahabat di semua negara ASEAN. China sahabat baik, Amerika rakan dagang lama. Malaysia mempunyai politik yang stabil, dasarnya jelas dan kita cuba sedaya upaya untuk bersihkan sistem ini dari amalan lampau yang kurang sihat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd