Runtuhan di kaki Gunung Inas bukan akibat pembalakan

Runtuhan di kaki Gunung Inas bukan akibat pembalakan

am@hmetro.com.my

Baling: Kejadian runtuhan tanah di kaki Gunung Inas di Kampung Iboi di sini, minggu lalu, bukan berpunca akibat kegiatan pembalakan atau projek tanaman durian Musang King.

Pegawai Daerah Baling Datuk Abdul Gafar Yahya, berkata kejadian itu disebabkan taburan hujan yang tinggi antara September hingga Disember lalu.

Katanya, kejadian itu menimbulkan kegusaran berikutan berlaku beberapa kejadian banjir kilat berserta lumpur yang sehingga melimpah ke rumah penduduk.

“Saya bersama Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Kedah, Azizan Ali dan pegawai Jabatan Perhutanan Negeri (JPNK) meninjau kawasan kaki gunung terbabit.

“Runtuhan mula berlaku 27 September 2023, tapi saya tegaskan runtuhan ini tiada mengena dengan projek tanaman durian Musang King atau pembalakan.

“Ia juga tiada kaitan dengan aliran puing dari Sungai Kupang kerana ia bukan aliran yang sama,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam kejadian 6 Mei lalu, berlaku kejadian runtuhan tanah di kaki Gunung Inas akibat hujan yang melanda kawasan berkenaan ketika ini, menyebabkan penduduk kembali berasa bimbang.

Sementara itu, penduduk Kampung Iboi, Zulkifli Ahmad, 61, berkata dia bimbang kejadian itu akan menyebabkan berlaku runtuhan yang lebih besar selepas ini sehinggameragut nyawa penduduk seperti tragedi banjir puing pada 4 Julai 2022.

“Saya bimbang runtuhan ini akan hempap rumah atau akan berlaku banjir puing yang lebih besar, sekarang ini sudah mula hujan, kami sekeluarga tidak nyenyak tidur .

“Jika hujan lebat pada waktu malam saya akan suluh dengan lampu tengok air melimpah ke tahap mana, parit berhampiran rumah semakin cetek kerana limpahan lumpur dari runtuhan itu.

“Selalunya air akan naik sehingga laman rumah hampir satu meter, mujur kedudukan rumah saya lebih tinggi, saya perlu berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan keluarga terutama isteri dan ibu mentua saya yang sudah berusia 86 tahun,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd