Runtuhan tapak kuari: Pasukan SAR berdepan detik cemas akibat runtuhan susulan

Runtuhan tapak kuari: Pasukan SAR berdepan detik cemas akibat runtuhan susulan

am@hmetro.com.my

Raub: Pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pemandu jentera pengorek tertimbus di tapak kuari batu di Ulu Gali, di sini, berdepan detik cemas kerana berlaku runtuhan susulan di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Raub, Jalailudin Abd Mubin, berkata runtuhan itu berlaku ketika operasi giat dijalankan jam 11.45 pagi, hari ini.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan operasi ditangguhkan hampir sejam dan disambung semula selepas pemantauan keadaan di tebing kuari didapati selamat.

“Kita turut menggunakan anjing pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk membantu mengesan mangsa.

“Berdasar petunjuk kita percaya sudah mengesan lokasi mangsa tertimbus dan tumpuan dilakukan mengalih timbunan batu di kawasan itu.

“Sehingga kini hampir 10 tan metrik bongkahan batu di lokasi itu sudah alihkan tetapi mangsa belum ditemui,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari semalam, mangsa, Mohammad Fazrul Illahi Ab Rahman, 30, dilaporkan tertimbus dan tiga pekerja warga asing pekerja kuari tercedera akibat kejadian tebing kuari batu runtuh.

Ketika runtuhan berlaku, mangsa dilaporkan sempat melompat keluar dari jentera dikendalikannya dan cuba lari untuk menyelamatkan diri tetapi lelaki terbabit dilaporkan dihempap dan tertimbus timbunan batu.

Lebih 70 anggota bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) terbabit dalam SAR dilancarkan sejak jam 1 petang semalam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top