SINGAPURA – Mata wang Indonesia dan India terus berdepan tekanan susulan kenaikan berterusan harga minyak mentah dunia yang menjejaskan ekonomi negara pengimport tenaga, menurut tinjauan Reuters pada Khamis.
Tinjauan melibatkan 10 penganalisis dan pengurus dana itu menunjukkan sentimen negatif terhadap rupiah Indonesia meningkat ke paras terburuk sejak Oktober 2022, manakala kedudukan lemah terhadap rupee India berterusan sejak pertengahan Jun 2025.
Mata wang negara membangun Asia yang bergantung kepada import minyak antara paling terkesan selepas harga minyak Brent melonjak hampir 50 peratus susulan perang Iran, walaupun bank pusat dan kerajaan masing-masing cuba menstabilkan pasaran.
Rupiah sebelum ini jatuh melepasi paras psikologi penting 17,500 berbanding dolar AS buat kali pertama minggu ini sebelum mencecah paras terendah rekod 17,535.
Mata wang Indonesia itu sememangnya sudah berada di bawah tekanan susulan kebimbangan pelabur terhadap isu fiskal dan tadbir urus negara tersebut.
“Pelabur kini menuntut pampasan lebih tinggi kerana reaksi dasar pasaran semakin sukar dijangka.
“Sebagai pengimport bersih tenaga, kenaikan harga minyak ketika ini memberi tekanan kepada akaun semasa Indonesia dan mengehadkan ruang Bank Indonesia untuk mempertahankan rupiah,” kata pakar strategi pelaburan Global X ETFs Australia, Billy Leung.
Timbalan Gabenor Bank Indonesia pada Selasa berkata, bank pusat itu komited melaksanakan ‘intervensi pintar’ bagi mengurangkan tekanan terhadap nilai rupiah berbanding dolar AS.
Dalam pada itu, rupee India kini menjadi mata wang paling lemah di Asia dengan penyusutan lebih enam peratus setakat tahun ini.
Pelabur asing dilaporkan mengeluarkan lebih AS$20 bilion (RM79 bilion) daripada pasaran ekuiti India sejak perang bermula, menjadikan aliran keluar modal tahun ini melebihi rekod tahun lalu.
Penganalisis DBS berpandangan pemulihan rupee hanya mungkin berlaku sekiranya harga minyak turun mendadak atau aliran masuk portfolio asing kembali meningkat.
Sebaliknya, sentimen negatif terhadap kebanyakan mata wang Asia lain mula berkurangan termasuk dolar Taiwan, won Korea Selatan dan baht Thailand.
Won dan dolar Taiwan terus disokong aliran masuk pelaburan asing ke pasaran saham susulan keyakinan global terhadap sektor kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan perkakasan teknologi di Korea Selatan serta Taiwan.
Baht Thailand bagaimanapun masih mencatat prestasi lemah tahun ini dengan susut 2.72 peratus akibat tekanan harga tenaga dan kebimbangan fiskal.
Sementara itu, sentimen positif meningkat terhadap dolar Singapura dan ringgit Malaysia berikutan status Singapura sebagai mata wang selamat serta kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih tenaga. – Agensi



