Moscow: Peraturan baharu teleperubatan akan mula dikuat kuasa di Rusia mulai 1 Sept, antara lain membenarkan doktor menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) semasa rundingan, menurut Timbalan Pengerusi Pertama Jawatankuasa Kesihatan Duma, Badma Bashankayev kepada RIA Novosti.
“Peraturan baharu dalam teleperubatan yang akan dikuat kuasa mulai 1 Sept adalah sebahagian daripada evolusi dalam pembangunan bidang ini.
“Kami mengekalkan prinsip utama iaitu pertama pemeriksaan secara bersemuka, kemudian — sokongan jarak jauh. Pada masa yang sama, kami memberikan lebih banyak instrumen kepada doktor, kini mereka boleh menyelaras rawatan dan menggunakan AI jika sistem diluluskan secara rasmi,” kata Bashankayev.
Menurut ahli parlimen itu, peraturan yang dikemas kini itu memperincikan dengan jelas empat format interaksi teleperubatan iaitu rundingan jarak jauh antara doktor untuk kes kecemasan, segera dan terancang; laporan jarak jauh mengenai keputusan diagnostik; rundingan dengan pesakit dan penyusunan pemantauan kesihatan pesakit secara jarak jauh.
“Teleperubatan bukan tentang gajet dan teknologi, tetapi tentang manusia.
“Mengenai seorang pesakit di kawasan pedalaman yang boleh mendapatkan rundingan segera daripada pakar di pusat perubatan persekutuan.
“Mengenai seorang doktor di hospital daerah yang boleh segera berunding dengan rakan sekerja — pakar dalam kes-kes sukar.
“Dan mengenai pesakit kronik, terutamanya selepas pembedahan besar, yang boleh dipantau tanpa perlu meninggalkan rumah,” jelasnya.
Menurut Bashankayev, adalah penting agar teknologi ini tidak hanya kekal di atas kertas dan bagi merealisasikannya, hospital perlu dihubungkan, doktor dilatih dan asas teknikal dipertingkatkan.
“Sebagai sebahagian daripada kawalan parlimen, kami akan memantau agar perubahan ini benar-benar memberikan manfaat kepada pesakit.
“Kuncinya ialah kemudahan, akses dan kualiti,” kata beliau.
© New Straits Times Press (M) Bhd