Russell tak gusar ancaman Verstappen

Russell tak gusar ancaman Verstappen

Spielberg: George Russell berasakan rundingan untuk sambungan kontraknya bersama Mercedes tertangguh kerana pasukan itu masih berminat mendapatkan juara Formula Satu (F1), Max Verstappen.

Pemandu Britain berusia 27 tahun itu yang menang di Grand Prix (GP) Kanada dua minggu lalu, akan tamat kontrak pada penghujung musim ini, manakala Verstappen, juara dunia empat kali, memiliki kontrak bersama Red Bull sehingga 2028 serta tertakluk kepada klausa pelepasan.

Bercakap kepada Sky Sports semasa GP Austria, Russell berkata, Mercedes yang juga juara pengeluar selama lapan tahun berturut-turut dari 2014 hingga 2021 dan kini di tangga kedua di belakang McLaren, mahu kembali berada di puncak.

“Kalau anda mahu kembali ke puncak, anda perlu pastikan anda memiliki pemandu terbaik, jurutera terbaik, kru pit terbaik dan itulah yang sedang Mercedes usahakan.

“Jadi, adalah perkara biasa jika perbincangan dengan pemandu seperti Verstappen masih berjalan. Tetapi bagi saya, jika saya terus mempamerkan prestasi seperti sekarang, apa yang perlu saya risaukan? Setiap pasukan Formula Satu ada dua tempat,” katanya.

Bos pasukan Mercedes, Toto Wolff menyatakan minatnya terhadap Verstappen sejak tahun lalu ketika mencari pengganti untuk juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton.

Namun akhirnya, pelumba muda Itali berusia 18 tahun, Kimi Antonelli, diberikan peluang dan sudah mencipta beberapa keputusan cemerlang, sekali gus menerima sokongan padu daripada peminat.

Verstappen dan Russell sebelum ini terbabit dalam beberapa insiden hangat, baik di dalam mahupun di luar litar sepanjang 12 bulan lalu, situasi yang mungkin membuatkan Mercedes berhati-hati untuk menggandingkan kedua-duanya sekiranya peluang itu muncul.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top