sudirman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Rusuhan ini sedikit sebanyak mengganggu rutin harian malah kena lebih berhati-hati disebabkan sentimen yang dibawa.”
Demikian kata rakyat Malaysia yang bekerja di Manchester, Asraful Atiqah Ahmad, 30, susulan beberapa siri rusuhan di beberapa bandar di United Kingdom (UK) secara khusus menyasarkan masyarakat Islam.
Asraful yang juga juruaudit di sebuah syarikat berkata, komuniti Melayu di kawasan tempat tinggalnya saling mengingatkan.
“Buat masa ini saya hanya bekerja dari rumah. Majikan saya yang juga orang tempatan memberi keizinan untuk tidak ke pejabat sekiranya tiada keperluan.
“Namun, jika perlu ke sana, saya mengambil langkah sentiasa berhati-hati dalam perjalanan pergi dan pulang. Alhamdulillah semasa berada dalam perkarangan pejabat, suasana sangat selamat dan tidak berasa terancam,” katanya.
Menurutnya, dia mengambil pendekatan untuk tidak terlalu memikirkan perkara yang bukan-bukan sehingga memberi tekanan tetapi sentiasa mengambil langkah berwaspada ketika berada di luar.
“Komuniti Malaysia di kawasan sekitar juga saling mengingatkan antara satu sama lain dan menyarankan untuk bersedia dengan alat perlindungan kendiri seperti ‘safety alarm’ jika berlaku apa-apa perkara yang tidak diingini,” katanya.
Dia berkata, terdapat rakan beragama Islam dari negara lain yang menjadi mangsa serangan pihak tertentu.
“Ada satu kejadian di mana beberapa rakan Muslim yang berada di pusat bandar pernah diganggu secara fizikal. Tudung mereka ditarik dan dihina.
“Oleh itu saya mengambil inisiatif untuk sentiasa mendapatkan maklumat yang sahih dan terkini bagi mengelakkan diri berada di tempat ‘hotspot’ sehingga isu ini menjadi surut,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Luar mengeluarkan notis segera kepada rakyat Malaysia di UK pada Ahad lalu selepas beberapa siri protes berlaku di UK, berikutan insiden tikam di Southport pada 29 Julai.
Rakyat Malaysia yang menetap atau berkunjung ke UK dinasihatkan untuk menjauhi kawasan protes, sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini serta panduan diberikan pihak berkuasa tempatan.
Menurut Kementerian Luar lagi, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London di alamat 45 – 46 Belgrave Square, London, UK atau telefon +44 20 3931 6196 atau +44 20 7235 8033 atau e-mel di mwlondon@kln.gov.my.
Kementerian Luar melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London, UK sedang memantau keadaan dengan teliti dan berusaha memaklumkan kepada orang ramai tentang sebarang perkembangan terkini.
© New Straits Times Press (M) Bhd