RUU Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2025 dibentangkan di Dewan Rakyat

RUU Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2025 dibentangkan di Dewan Rakyat

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2025 bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat yang antara lain bertujuan memberi kuasa kepada menteri untuk menggantung kuat kuasa keseluruhan atau sebahagian peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] di mana-mana bahagian di Malaysia.

RUU Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2025 dibentangkan

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, pindaan tersebut merupakan langkah penting selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan pemakaian Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan, yang memberi kuasa perundangan berkaitan alam sekitar kepada Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, pindaan itu membolehkan kedua-dua negeri berkenaan melaksanakan dan menguatkuasakan perundangan berkaitan pengurusan buangan terjadual secara lebih autonomi, selaras dengan keperluan serta konteks tempatan.

“Pindaan ini mencerminkan pendekatan Kerajaan Persekutuan yang lebih inklusif dan menghormati kedudukan istimewa Sabah dan Sarawak dalam aspek tadbir urus alam sekitar,” katanya ketika membentangkan RUU tersebut di Dewan Rakyat, hari ini.

RUU Kualiti Alam Sekeliling

Artikel lain: Kes e-waste: NRES komited bantu siasatan SPRM, pegang teguh prinsip integriti

Arthur menegaskan bahawa langkah berkenaan tidak akan menjejaskan komitmen negara terhadap perlindungan alam sekitar, sebaliknya bertujuan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan buangan terjadual di peringkat negeri.

“Walaupun terdapat pelarasan dari segi bidang kuasa, sistem pemantauan dan kawal selia sedia ada akan terus berfungsi seperti biasa bagi memastikan tahap perlindungan alam sekitar kekal konsisten di seluruh negara,” ujarnya.

Tambahnya, pindaan tersebut juga memperjelas kerangka tadbir urus alam sekitar agar selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, selain memastikan penyelarasan lebih berkesan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Beliau turut memaklumkan bahawa bacaan kali kedua RUU berkenaan yang akan membolehkan perbahasan lebih mendalam dilakukan dijangka dibentangkan dalam sidang Parlimen dalam masa terdekat.

Scroll to Top