nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: PAS menyifatkan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 perlu dikaji secara mendalam.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ia berikutan dalam Islam terdapat berpuluh mazhab.
“Pada pandangan saya, semua ulamak tidak benarkan mazhab mereka diisytiharkan sebagai agama negara sama ada Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Hambali.
“Hanya Islam sahaja yang menjadi agama negara,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Konvensyen Antarabangsa Kelantan Membangun Bersama Islam, di sini, malam tadi.
Turut hadir, Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Media sebelum ini melaporkan, semua Ahli Parlimen beragama Islam disaran menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 apabila usul terbabit dibawa ke Dewan Rakyat nanti.
Ahli Majlis Syura Persatuan Guru-Guru Pondok Kelantan, Dr Muna Hamzan berkata, sokongan itu bagi memastikan RUU terbabit diluluskan oleh Parlimen seterusnya dikuatkuasakan bagi memelihara institusi Raja-raja dan mengekang elemen radikalisme dalam negara.
Menurutnya, RUU Mufti itu mentakrifkan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah bersumberkan aliran Al-Asyairah, Al-Maturidiah dan fiqh Mazhab Syafie dengan meraikan tiga mazhab lain.
Jelasnya, pada masa sama ia dilihat selari dengan enakmen undang-undang pentadbiran Islam di negeri-negeri kerajaan di Malaysia yang berpaksikan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.
© New Straits Times Press (M) Bhd