RUU Mufti selari hasrat Institusi Diraja

RUU Mufti selari hasrat Institusi Diraja

RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. Antara perinciannya adalah definisi Ahli Sunah Waljamaah pada Bahagian II, Mufti dan Timbalan Mufti (4) Bagi maksud seksyen ini, “Ahli Sunah Waljamaah” ertinya mana-mana orang yang berpegang dengan al-Quran dan Sunah:

(a) Berkenaan dengan akidah, yang mengikut pegangan yang bersumberkan daripada aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah;

(b) Berkenaan dengan syariah, yang mengikut Mazhab Syafie atau dalam keadaan tertentu mengikut mana-mana satu Mazhab Hanafi, Maliki, atau Hanbali atau ijtihad hukum yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa; dan

(c) Berkenaan tasawuf, yang mengikut pegangan yang dibawa oleh Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.

RUU Mufti ini selari dengan hasrat murni Institusi Diraja secara rasminya di Malaysia. Buktinya, pada 6 Mac 2023, DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) kali ke-69 di Istana Melawati, Putrajaya. Turut hadir, Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Timbalan Pengerusi MKI, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM), YBhg Datuk Hakimah Mohd Yusoff selaku Setiausaha MKI. 

Selaku Pengerusi MKI ketika itu, DYMM Sultan Selangor berkenan menyampaikan titah ucapan yang bertajuk “Mendaulatkan Islam, Memperkasakan MKI”. Antaranya adalah: “Meskipun Melaka secara politik jatuh pada tahun 1511, institusi Raja-Raja Melayu yang mewarisi aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah, dengan berakidah Imam al-Ash’ari, fikah bermazhab Imam al-Syafi’i dan tasawuf bertarekat Imam al-Ghazali serta adat istiadat, budaya dan keilmuan daripada Melaka terus berkembang, malah berjaya membentuk wajah dan identiti tamadunnya yang tersendiri di dunia. Sesungguhnya, tradisi inilah yang menjadikan acuan dan amalan Islam di Negara kita  yang amat unik dan istimewa, dan perlu dijadikan pedoman dalam membuat sebarang keputusan penting berkaitan institusi Islam di Malaysia. Walaupun ketika negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu dijajah oleh kuasa Portugis, Belanda mahupun British, kuasa mutlak seseorang Raja Pemerintah sebagai Ketua Agama Islam tidak pernah berubah, malahan terus dikekalkan sehinggalah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada Hari Merdeka.”

Sultan Johor, KDYMM Seri Paduka Baginda Sultan Ibrahim yang kini sebagai Yang Di-Pertuan Agong Malaysia pernah bertitah pada 26 Februari 2019: “Johor mempunyai institusi agama Islam dan pendidikan Islam yang utuh lagi sistematik melangkaui satu abad. Ia berprinsipkan dengan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiyah, justeru, Johor Darul Ta’zim tidak mempunyai sebarang keperluan membawa masuk fahaman, amalan dan pegangan baru daripada luar. Ketetapan ini bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan, perbalahan dan perpecahan di kalangan umat Islam di Johor Darul Ta’zim terutama dalam perkara yang tidak selari dengan pegangan akidah, amalan agama dan tradisi masyarakat Islam di negeri ini.” 

Begitu juga Sultan Perak, DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang kini sebagai Timbalan Yang Di-Pertuan Agong Malaysia dan Pengerusi baharu Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pernah bertitah dalam program Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertemakan ‘Memperkasa Ahli Sunnah Wal Jamaah Sebagai Firqah Najiah’ pada 11 Oktober 2023 bahawa: “Usaha meningkatkan kefahaman mengenai Ahli Sunnah Wal Jamaah merupakan usaha penting untuk memastikan keharmonian ummah dapat dijamin. Juga untuk melengkapkan ummah dengan fahaman yang jelas agar lebih bersedia menghadapi ancaman kemunculan ajaran sesat dan aliran pemikiran janggal yang mengundang kebinasaan ke atas diri, keluarga, masyarakat mahupun negara. Pegangan ini adalah warisan jati diri umat Islam di negara ini sejak agama Islam mula bertapak di Tanah Melayu. Sepanjang sejarah dalam manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah, pendekatannya bersifat pertengahan dan seimbang, tidak bersifat keterlaluan ataupun ekstrem. Manhaj ini menerima pendekatan nas dan akal dengan meletakkan nas mengatasi akal. Dalam amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah, akal diberikan ruang berfikir dan membuat tafsiran malah takwilan yang tidak jauh dengan tuntutan nas, bukan membuat tafsiran secara literal yang menampakkan Islam sebagai agama yang kaku dan tidak realistik.”

Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ini telah membuat deklarasi antaranya:

[1] Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ) ialah golongan umat Islam yang berpegang dengan manhaj Imam Abu al-Hasan Al-Ash’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi serta ahli Athar di dalam bidang akidah, dan beramal dengan mazhab yang muktabar di dalam bidang fiqh serta mengikut madrasah Imam Junayd al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali di dalam bidang tasawuf.

[2] Manhaj ASWJ adalah manhaj yang mengambil pendekatan pertengahan dan seimbang di antara dalil naqli dan aqli serta berpegang dengan kaedah Tafwid dan Takwil bagi nas mutashabihat.

[3] ASWJ juga adalah merupakan jati diri umat Islam di alam Melayu sejak kedatangannya dan menjadi warisan sehingga ke hari ini. Oleh itu, ASWJ perlulah difahami, dihayati, dipelihara dan dilindungi serta usaha memperkasakan ASWJ ini perlulah dilakukan secara menyeluruh dan berterusan.

Berkaitan istilah ahli Athar dalam deklarasi nombor 1, terdapat pihak yang cuba mempergunakan golongan tersebut untuk menempel ke dalam ASWJ. Maka boleh dirujuk resolusi Seminar Ahli Sunah Waljamaah: Manhaj Akidah Majoriti Ahli Hadis yang dianjurkan pada 4 Jun 2022 oleh Pusat Pengajian Usuluddin, Universiti Sultan Zainal Abidin antaranya:

[1] Penegasan bahawa majoriti ulama Melayu mewarisi turath ASWJ menerusi mazhab akidah al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah di samping meraikan aliran Ahli Hadis Mufawwidah serta mazhab fekah Shafie di samping mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali.

[2] Penegasan selain Asya’irah dan Maturidiyyah, golongan Athariyyah (iaitu ahli hadis atau Hanabilah Mufawwidah) turut diterima dalam lingkungan ASWJ kerana kejelasan metodologi mereka dalam memahami nas mutashabihat. Manakala ahli hadis yang tidak berpegang dengan salah satu daripada tiga aliran ini tidak dianggap sebagai mengikut fahaman ASWJ seperti golongan Mujassimah, Mushabbihah, Hanabilah Hashawiyyah dan akidah Salafi Jihadi. 

[3] Penegasan bahawa majoriti ulama hadis menjadikan ayat muhkamat sebagai asas untuk memahami akidah manakala ayat mutashabihat perlu diselaraskan dengan ayat muhkamat kerana ia merupakan ayat induk. Ia berkaitan dengan kaedah takwil dan tafwid makna, yang merupakan kaedah muktabar ASWJ. 

[4] Penegasan bahawa kaedah wasatiyyah dalam memahami nas al-Quran dan hadis antaranya adalah ia tidak boleh ditafsirkan secara literal (tafrit) seperti golongan Mushabbihah, Khawarij dan Salafi Jihadi yang mudah membidaahkan serta mengkafirkan perkara khilafiyyah dan juga tidak boleh ditafsirkan secara liberal (ifrat) seperti golongan Islam Liberal dan anti hadis yang mengulangi sebahagian masalah yang pernah dilakukan Muktazilah.

Jika timbul persoalan kenapa hanya disebut al-Asyairah dan al-Maturidiyah di dalam undang-undang, maka perlu difahami, mana-mana aliran yang tidak dinisbahkan kepada al-Asyairah dan al-Maturidiyah, tetapi tidak bercanggah usulnya dengan kedua-duanya seperti al-Hanabilah dan seumpamanya yang bercirikan tafwid makna dalam isu sifat-sifat Allah SWT dan tidak mengkafirkan umat Islam dalam perkara khilafiyyah maka tetap boleh dianggap ASWJ. Maka, dalam undang-undang sudah memadai hanya sebut al-Asyairah dan al-Maturidiyyah kerana perbezaan dengan al-Hanabilah hanya perkara cabang agama sahaja.

Penulis Prof Madya di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top